Wednesday, May 28, 2008

LANGKAH ATASI KRISIS MINYAK JUMAAT INI

Oleh Magendran Rajagopal

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan beberapa langkah bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap rakyat dan ekonomi negara selepas mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Inflasi yang dipengerusikannya kelmarin membentangkan beberapa cadangan berhubung perkara itu dan ia akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

"Ada beberapa langkah dikemukakan dalam mesyuarat itu semalam (kelmarin) kerana kita bincang banyak perkara dan ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.



"Selepas itu, kita dijangka buat satu siri pengumuman kerana kita amat terperinci dalam isu ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan komandan kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), di sini, semalam.

Najib diminta mengulas ura-ura kerajaan akan mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel Jumaat ini bagi mengimbangi kesan peningkatan harga minyak mentah yang mencecah AS$133 setong di pasaran antarabangsa, semalam.

Beliau yang enggan memberi bayangan pengumuman itu walaupun didesak wartawan, sebaliknya meminta semua pihak supaya bersabar sehingga Kabinet membuat keputusan.

No comments: