Tuesday, May 20, 2008

SEMUA PIHAK PERLU UTAMAKAN PERPADUAN

Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Mohd Shapie Apdal, mahu semua pihak termasuk pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini memastikan perpaduan terus subur untuk memastikan negara terus aman dan makmur.

Beliau tidak mahu ada pihak, demi kepentingan politik sempit mengapi-apikan rakyat sehingga menimbulkan sikap kebencian antara satu sama lain. Ini tidak sihat terutama di negara yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik.

Baginya, rakyat di seluruh negara kini memahami kepentingan mengekalkan perpaduan dan mereka memahami serta menghayati Rukun Negara. Mereka juga tidak mahu berlakunya perbalahan kaum yang akan merugikan semua pihak. Kesejahteraan yang dirasai sejak merdeka perlu dikekalkan bagi membolehkan rakyat menjalankan kegiatan harian.

Beliau berkata, rakyat negara amat bertuah kerana keharmonian yang terjalin sekian lama berbanding negara lain. Di negara tertentu rakyat yang sentiasa berada dalam ketakutan akibat peperangan dan keganasan kaum. Adakalanya, bunyi mercun juga sudah menakutkan mereka kerana menyangka berlakunya peperangan.

Dalam pada itu, Datuk Mohd Shapie mahu semua pihak menghormati budaya kaum lain dan tidak membuat interpretasi sempit dan mengelirukan. Umpamanya, semua pihak perlu memahami bahawa tindakan mencium keris adalah budaya Melayu dan ia diamalkan dalam pelbagai istiadat termasuk pertabalan SPB Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Beliau juga bersetuju dengan MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, yang mengatakan mencium keris bukanlah untuk menakut-nakutkan mana-mana pihak atau mengadakan kekacauan tetapi sebagai lambang sejak zaman berzaman.

No comments: