Tuesday, May 20, 2008

DR MAHATHIR KELUAR UMNO

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang bernombor keahlian '2'.

Beliau turut menegaskan bahawa "saya bebas dan tidak menyokong mana-mana parti lawan."

Dr Mahathir, yang sebelum ini membuat pengumuman keluar dari Umno di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di Alor Star hari ini, turut membuat pengumuman itu di lawan webnya www.chedet.com pada pukul 10.11 malam ini.

Pengumumannya dalam lawan web itu turut mengumumkan yang isterinya Dr Siti Hasmah bersamanya keluar dari Umno.

Di Alor Star, Dr Mahathir anggota Umno seumur hidup dan bernombor keahlian '1', berkata beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.

"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr Mahathir mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.

"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.

"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lepas. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno," katanya.

Dalam sejarah Dr Mahathir dalam Umno, beliau pernah dipecat daripada Umno pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan Umno ketika itu, tetapi diterima kembali ke dalam parti pada 1972.

Dr Mahathir turut mengajak anggota Umno yang sependapat dengannya berhubung dengan kepimpinan untuk mengikuti jejaknya dengan bertindak keluar dari parti itu tetapi bukan untuk menyertai parti lain.

"Saya yakin cara ini berkesan. Saya tidak akan menyuruh orang membuat sesuatu yang saya sendiri tidak berani melakukannya," tambahnya.

Bekas Perdana Menteri turut melahirkan rasa kecewa kerana anggota-anggota Umno masih disekat oleh kepimpinan parti daripada berjumpanya.

"Sampai nak adakan perjumpaan, ahli-ahli Umno dan ketua bahagian tidak dibenar berjumpa saya. Ini apa?," katanya.

Beliau berkata tindakan kepimpinan Umno itu hanya menyebabkan timbul lebih banyak rasa tidak puas hati dan akhirnya melambangkan Umno sebagai tidak demokratik.

Ketika diajukan soalan oleh pemberita mengenai tindakannya itu akan membuat orang lain mengikuti jejaknya, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak peduli kerana saya pun disekat daripada berjumpa dengan ahli-ahli Umno."

Beliau juga yakin bahawa tindakannya meninggalkan Umno tidak akan memberi kesan kepada politik orang Melayu.

"Saya pernah dibuang dari Umno, (dan) politik Melayu tidak hilang. Kalau orang Melayu hendak betulkan, bukan kerana (tindakan) saya keluar. Kalau mereka berani hendak pelihara parti dan perjuangan parti mereka harus berani bertindak," katanya.

Dr Mahathir juga sekali lagi menegaskan bahawa Abdullah perlu melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri bagi memastikan survival Umno dan jika perlu anggota Umno boleh membuat undi tidak percaya dalam usaha memaksa Abdullah meletak jawatan.

Ditanya adakah tindakan terbarunya itu (keluar Umno) bertujuan untuk memberi tekanan kepada Abdullah, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak tahu mengenai tekanan kerana orang ini tidak faham apa-apa".

Ditanya adakah tindakannya keluar daripada Umno mempunyai kaitan dengan arahan terbaru Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video peguam Datuk V.K Lingam, Dr Mahathir menafikannya.

"Ini soal mahkamah... dia boleh tuduh dan kalau saya salah masuk jel. Kalau tak salah janganlah tangkap saya juga," katanya sambil ketawa.

Individu yang dinamakan dalam laporan itu terdiri daripada Lingam; bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan; dua bekas Ketua Hakim Negara iaitu Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin serta Dr Mahathir.

Pada akhir majlis itu, Dr Mahathir turut melahirkan kekecewaannya terhadap pemimpin Umno sekarang kerana bukan sahaja tidak mempertahankannya sebaliknya turut mengkritiknya.

"Kalau dulu orang kata kononnya saya berkhidmat kepada negara, cium tangan naik asap tapi bila saya kritik Datuk Seri Abdullah pasai tak buat jambatan orang maki saya. Tiada siapa dalam Umno mempertahankan saya," katanya kesal.

Pada majlis itu, Dr Mahathir dalam ucapannya selama sejam turut menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh hadirin antaranya berhubung pengganti Abdullah dan langkah memulihkan kuasa politik Umno.

Dr Mahathir juga mengulangi gesaannya supaya sistem kuota kelayakan untuk bertanding jawatan penting pada perhimpunan agung Umno Disember ini dimansuhkan melalui persidangan mesyuarat khas parti.

No comments: