Wednesday, May 21, 2008

ANCAMAN SIBER BOLEH BAWA PADAH

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kealpaan masyarakat moden dan kerajaan terhadap ancaman siber boleh membawa padah.

Perdana Menteri berkata ruang litup ancaman siber amat berbeza dari jenayah internet yang biasa seperti ujian identiti dan penipuan kewangan kerana gangguan siber boleh dirancang dan dilakukan dari mana saja di dunia ini tanpa orang yang melakukannya berada di negara sasaran.

Tanpa mengambil kira risiko terhadap kesannya kepada manusia pun, kerugian dari segi ekonomi akibat gangguan atau serangan siber ini menjadi satu sebab kenapa kerajaan perlu peka dan mengambil tindakan, katanya pada Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Sedunia di sini hari ini.

"Yang anehnya, walau pun hubungan (siber) semakin meluas di sesebuah negara, kemungkinan berlakunya keburukan juga meluas," kata Abdullah.

Sambil memberi contoh, beliau berkata bahawa tahun lepas, Estonia, sebuah negara kecil tetapi mempunyai hubungan siber yang meluas, mengalami tiga gelombang isyarat menyebabkan loji rawatan airnya ditutup, sistem perbankannya tergendala dan agensi kerajaannya diserang.

Abdullah berkata oleh kerana internet tidak mengenal sempadan, sesebuah negara yang bertindak bersendirian tidak dapat mengelak dari ancaman siber.

Bagi mengatasi ancaman sejagat ini, semua kerajaan dan negara perlu saling bekerjasama, kata Abdullah.

Bagi Malaysia, katanya, ia menubuhkan Perkongsian Multilateral Antarabangsa Menentang Keganasan Siber (IMPACT) sebagai platform bagi membolehkan kerajaan dari pelbagai negara bertukar-tukar pengalaman dan idea selain memudahkan usaha berkongsi kemahiran dan amalan untuk melindungi ruang siber.

"Kita sedar bahawa sesetengah dari kemahiran dan teknologi terbaik dalam bidang keselamatan siber berada di luar kerajaan, (iaitu pada) pihak swasta dan akademia.

"Untuk membolehkan kerajaan menangani ancaman yang semakin kompleks ini, adalah wajar sektor swasta dan akademia yang terlibat dengan penyelidikan dijadikan rakan kongsi dalam inisiatif ini," katanya.

Pada masa ini, rakan kongsi IMPACT termasuk F-Secure, Kaspersky Labs, Symantec Corporation dan Trend Micro.

Sebagai bukti komitmen Malaysia terhadap IMPACT, kerajaan telah meluluskan geran pelancarannya sebanyak AS$13 juta.

Lebih separuh daripada peruntukan itu digunakan untuk membina sekretariatnya di Cyberjaya.

Sekretariat yang dijangka siap sebelum akhir tahun ini akan mengendalikan antara lainnya latihan, penyelidikan dan pembangunan, dasar serta rangka kerja kawal selia.

No comments: