Tuesday, May 20, 2008

DURI DALAM DAGING SUDAH TERKELUAR

Oleh ARSHAD KHAN
(UTUSAN MALAYSIA)

KUALA LUMPUR 19 Mei – Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO bagaikan ‘duri dalam daging sudah terkeluar’.

Walaupun mengakui sedih dengan tindakan Dr. Mahathir itu, beliau melihatnya sebagai peluang kepada pucuk pimpinan untuk memperkukuhkan kembali parti.

“Saya berasa sedih dan dukacita mendengar berita Dr. Mahathir keluar daripada UMNO, lebih-lebih lagi dalam waktu UMNO menghadapi keadaan yang sangat-sangat mencabar sekarang.

“Bagaimanapun, ahli-ahli UMNO harus menerimanya dengan hati terbuka dan tenang, tentu ada hikmahnya di sini... duri dalam daging sudah terkeluar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Musa, pucuk pimpinan UMNO kini harus memberi tumpuan kepada dua aspek politik.

Pertama, katanya, menerima hakikat bahawa UMNO sekarang bukan lagi sekuat dulu atau diterima sepenuhnya oleh rakyat terutama orang Melayu.

“Kedua, menerima realiti bahawa konsep ‘Mahathirisme’ sudah berlalu dan UMNO haruslah balik kepada konsep ‘Bersih, Cekap, Amanah’ yang pada awal tahun 80-an dulu diterima dengan begitu positif oleh rakyat jelata.

“Dalam jangka masa yang begitu pendek kita semua dalam UMNO telah kesesatan jalan. Sambarlah peluang keemasan ini untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Musa berkata, dengan berundurnya Dr. Mahathir daripada UMNO, ia membuka peluang kepada ahli- ahli parti itu untuk bertafakur dan bertenang sebelum kembali ke pangkal jalan.

“Setelah tiba di pangkal jalan, ingatlah bahawa yang sangat-sangat penting ialah UMNO sentiasa tidak khayal atau lupa mengotakan kata-katanya sepanjang masa,” ujar beliau.

No comments: