Friday, May 23, 2008

BATU PUTIH MILIK SIAPA?

Oleh NORAINI ABD. RAZAK (UTUSAN MALAYSIA)
(Di The Hague, Belanda)

HARI ini Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengumumkan satu lagi keputusan yang bakal dicatatkan dalam sejarah perundangan maritim antarabangsa berhubung siapakah pemilik mutlak Pulau Batu Putih serta dua lagi bentuk maritim iaitu South Ledge dan Middle Rock.

Selepas mendengar hujah-hujah lisan oleh kedua-dua negara yang menuntut kedaulatan ke atas ketiga-tiga pulau itu pada 6 hingga 23 November lalu, tiba masanya ICJ membuat ketetapan yang memihak sama ada kepada Malaysia atau Singapura.

Keputusan ICJ muktamad dan tidak boleh dirayu, manakala kedua-dua negara sememangnya telah membuat perakuan untuk akur dan menerima apa sahaja keputusan yang dibentangkan oleh ICJ hari ini .

Paling penting keputusan tersebut dipastikan tidak menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang sememangnya diketahui sarat dengan perasaan ‘benci tapi rindu’. Banyak isu dua hala yang mengikat Malaysia dan Singapura, dan tuntutan ke atas Pulau Batu Putih adalah salah satu daripadanya.

Antara isu-isu tertangguh yang menjadi ‘duri dalam daging’ hubungan Malaysia-Singapura ialah semakan harga air yang dijual ke republik itu, pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, pengeluaran wang dari Tabung Simpanan Pusat (CPF) dan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjung Pagar selain isu penggunaan ruang udara Malaysia oleh Tentera Udara Singapura.

Cuma bezanya isu-isu tersebut menuntut siri rundingan antara kedua-dua negara tanpa perlu merujuk kepada pihak ketiga. Ia berbeza dengan tuntutan ke atas Pulau Batu Putih, South Ledge dan Middle Rock yang melibatkan kedaulatan serta pemilikan lantas memerlukan ICJ sebagai penimbang tara untuk membuat keputusan.

Tuntutan ke atas Pulau Batu Putih bermula sejak 28 tahun lalu iaitu selepas Malaysia melakukan pemetaan sempadan maritim yang meliputi Pulau Batu Putih sebagai wilayahnya pada tahun 1979.

Secara rasminya Singapura (yang mengendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Putih) mempertikaikan pulau tersebut milik Malaysia menerusi nota bantahan yang bertarikh 14 Februari 1980.

Tuntutan terhadap Middle Rock yang terletak kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Batu Putih dan South Ledge, yang berada 1.7 batu nautika dari Middle Rock, dibuat Singapura pada 1993.

Pada 1994, Malaysia dan Singapura bersetuju membawa pertikaian ke ICJ melalui Perjanjian Khas untuk memuktamadkan kedaulatan Pulau Batu Putih.

Perjanjian Khas yang ditandatangani pada 9 Februari 2003 dan berkuat kuasa pada 9 Mei tahun sama itu antara lain berbunyi, “Melalui Perjanjian Khas, kedua-dua pihak memohon kepada ICJ untuk menentukan kedaulatan Pedra Branca/Pulau Batu Putih; Middle Rocks dan South Ledge milik Malaysia atau Singapura’’.

Proses demi proses telah dilalui oleh kedua-dua negara selepas perjanjian khas itu dimeterai untuk menyempurnakan tuntutan terhadap ketiga-tiga bentuk maritim itu.

Malaysia yang diketuai oleh Duta Tugas-Tugas Khasnya, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad bekerja keras untuk menyediakan bukti berupa dokumen bagi menyokong fakta bahawa Pulau Batu Putih sememangnya hak Malaysia.


Pendirian

Sebab itu setiap hujah Malaysia menetapkan pendirian bahawa kita tidak menuntut sebaliknya negara mahu ICJ menegaskan bahawa ketiga-tiga bentuk maritim itu sememangnya milik Malaysia manakala Singapura adalah pihak yang menuntut.

Abdul Kadir yakin keupayaan Malaysia mempersembahkan kes tersebut dengan cara paling terbaik. Ia bukan sahaja bergantung kepada tiga orang pegawai tinggi negara iaitu dirinya sendiri, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin serta lima peguam antarabangsa yang terkenal.

Kekuatan pasukan Malaysia juga amat bergantung kepada persediaan rapi yang dijalankan oleh para penyelidik yang telah memulakan kes tersebut sejak tidak kurang 15 tahun lalu.

Penyelidikan tidak terbatas di Malaysia malah menjangkau arkib, perpustakaan, muzium dan pelbagai sumber lagi di seluruh pelosok dunia supaya hujah pasukan negara tidak kelihatan sumbang atau lompong apabila dibentangkan ke mahkamah.

Penyelidikan yang diketuai oleh Wisma Putra telah menjadi satu usaha negara yang amat bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan, universiti dan institusi-institusi lain.

Sememangnya tidak salah jika pasukan Malaysia menaruh keyakinan bahawa negara mempunyai kes yang kukuh untuk mengekalkan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge lantaran kita telah memberikan yang terbaik.

Namun selepas bertungkus lumus menerusi hujah bertulis dan hujah lisannya, keputusan adalah di tangan 16 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh termasuk dua hakim ad hoc yang dilantik oleh Malaysia dan Singapura.

Harapan Malaysia, gandingan kepakaran tempatan dan antarabangsa ini, kedaulatan ke atas ketiga-tiga bentuk maritim itu akan dapat dikekalkan selama-lamanya.

Hakikatnya bukan rumah api yang dibina di atas Pulau Batu Putih menjadi ‘subjek utama’ pertikaian tetapi kedaulatan pulau tersebut yang menjadi keutamaan bagi Malaysia.

Sebab itu, Abdul Kadir, bertegas bahawa Malaysia bukan menuntut hak kedaulatan ke atas pulau seluas padang bola itu sebaliknya mahu mahkamah mengesahkan semula bahawa ia sememangnya milik negara.

Sememangnya hujah-hujah Malaysia baik dalam bentuk bertulis mahupun hujah lisan menjurus kepada bukti-bukti penting yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga pulau itu adalah miliknya. Siri dokumen berupa perjanjian, peta-peta dan fakta sejarah menjawab setiap dakwaan yang dikemukakan oleh Singapura.

Singapura pula menjadikan segala tindak tanduknya berhubung penyelenggaraan rumah api di pulau itu sebagai bukti bahawa ia mempunyai kedaulatan di situ. Bagi Singapura, mereka percaya bahawa telah wujud pentadbiran berkesan (effectivites) di pihak republik berkenaan di Pulau Batu Putih sehingga melayakkan pulau itu menjadi miliknya.

Bukti penting

Sepanjang sesi pembentangan hujah lisan Malaysia telah mengemukakan lapan bukti penting bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Johor sebelum tahun 1847 dan bukannya terra nullius (tidak bertuan) seperti yang didakwa oleh Singapura.

Bukti-bukti penting itu berupa dokumen perjanjian yang dipersetujui sepanjang tahun 1824 hingga 1851 melibatkan Kesultanan Johor dan British.

Tiada dokumen dikemukakan oleh Singapura bagi membuktikan dakwaannya bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius dan terbuka untuk diduduki oleh mana-mana kuasa sekalipun.

Singapura berhujah bahawa negara itu telah membuktikan pentadbiran berkesan di Pulau Batu Putih dengan menjalankan pelbagai aktiviti di situ sejak lebih 150 tahun lepas bagi membuktikan ia melaksanakan kuasa kedaulatan di Pulau Batu Puteh, yang dipanggilnya Pedra Branca (bahasa Portugis bermaksud batu putih) sedangkan Malaysia tidak berbuat demikian.

Sesungguhnya pasukan Malaysia bekerja keras untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar dan kes ini dapat dibentangkan secara tersusun.

Namun kesempurnaan hujah-hujah itu tidak diketahui sama berjaya menarik perhatian para hakim yang terdiri daripada pakar-pakar perundangan antarabangsa dan bukan calang-calang orangnya.

Sesungguhnya hari ini adalah hari penentu sama ada Pulau Batu Putih, Middle Rock dan South Ledge akan kekal bersama Malaysia ataupun Singapura yang sebelum ini bertindak sebagai penjaga Rumah Api Horsburgh akan menjadi pemilik baru ketiga-tiga bentuk maritim itu.

No comments: