Wednesday, May 21, 2008

RTM SIAR SECARA LANGSUNG - KES BATU PUTEH

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) - RTM1 akan menyiarkan secara langsung penghakiman oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pertikaian hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura mulai pukul 4 petang Jumaat ini, kata Menteri Penerangan Dato' Ahmad Shabery Cheek.

Siaran langsung dari The Hague, Belanda itu akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia, khususnya anak Johor, mengikuti prosiding kes berkenaan daripada kaca mata Malaysia, katanya pada majlis taklimat di Bangunan Parlimen di sini.

Shabery berkata ramai orang Johor mengadakan doa selamat dan sembahyang hajat agar keputusan kes itu memihak kepada Malaysia kerana kes berkenaan amat dekat di hati mereka.

Bagaimanapun, kata beliau, kedua-dua negara telah berjanji akan akur terhadap keputusan ICJ berhubung pertikaian itu dan pihak yang menang, tidak akan mengadakan sebarang sambutan kemenangan.

"Yang penting di sini ialah mencapai penyelesaian bagi konflik yang telah berlarutan sejak sekian lama," kata Shabery, sambil menambah bahawa rakyat Malaysia akan menerima apa saja yang diputuskan oleh mahkamah atau sistem antarabangsa.

Isu Pulau Batu Puteh melibatkan pertikaian tentang hak asal Malaysia terhadap pulau berkenaan apabila ia dituntut Singapura mulai 1980. Pulau terbabit terletak 7.7 batu nautika (nm) dari tanah besar Malaysia dan 25.5 nm melalui laut dari Singapura.

Malaysia adalah pemilik asal Pulau Batu Puteh sejak sekian lama dan pulau itu menjadi sebahagian daripada wilayah Johor.

Malaysia berhujah bahawa kehadiran Singapura di pulau berkenaan adalah semata-mata melalui penglibatannya dalam membina dan menyenggara sebuah rumah api di situ - itupun setelah mendapat restu dan keizinan pemegang kedaulatan pulau berkenaan iaitu Johor - dan oleh itu, ia tidak menyebabkan Malaysia hilang kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh.

Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, Penasihat Hal Ehwal Luar Negara kepada Perdana Menteri, yang turut hadir pada majlis taklimat itu, berkata Malaysia ingin mempamerkan kepada dunia bahawa ia sebuah negara yang patuh kepada undang-undang dan akan menerima sebarang keputusan ICJ sebagai suatu keputusan muktamad.

Katanya bagi Malaysia, kes Pulau Batu Puteh lebih merupakan "isu rakyat", tetapi bagi Singapura, ia lebih merupakan "isu kerajaan".

Beliau berkata sekiranya Malaysia menang kes itu, status quo sedia ada akan dikekalkan dan Singapura akan dibenarkan menggunakan rumah api berkenaan, tetapi perlu merobohkan pepasangan ketenteraannya.

Kata beliau, sekiranya mahkamah berkenaan mendapati Pulau Batu Puteh adalah kepunyaan Malaysia, maka nelayan negara ini akan dibenarkan menangkap ikan berhampiran pulau itu. Kini, pulau berkenaan dikawal sepanjang masa oleh tiga kapal Tentera Laut Singapura.

Jika Malaysia kalah dalam kes ini, maka sempadannya perlu ditanda semula, kata beliau.

Beliau bagaimanapun berkata andai kata negara itu menang dalam kes berkenaan, Singapura perlu merujuk kepada Indonesia kerana Indonesia mengiktiraf kedaulatan Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh berdasarkan perjanjian pelantar laut yang ditandatangi kedua-dua negara pada 1969.

Kadir berkata pasukan perundangan Malaysia telah melakukan "segala yang terdaya oleh mereka berhubung kes itu".

Persiapan kumpulan ini disokong oleh penyelidikan selama 30 tahun di 11 negara dan 40 lokasi, kata beliau.

Singapura pertama kali menuntut Pulau Batu Puteh melalui satu Nota Diplomatik yang membantah tindakan Malaysia mempamerkan pulau itu sebagai pulau miliknya dalam "Peta Malaysia 1979".

Tuntutan republik itu terhadap Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Terumbu Karang Selatin (South Ledge) hanya mula dibuat pada mesyuarat dua hala pertama yang diadakan bagi membincangkan tuntutan Singapura terhadap PBP pada Februari 1993.

Pada September 1994, Malaysia dan Singapura bersetuju mencari penyelesaian terhadap pertikaian berhubung isu Pulau Batu Puteh dengan merujuknya kepada ICJ.

Pada Februari 2003, kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Khas yang menyatakan persetujuan mereka untuk merujuk pertikaian itu kepada mahkamah berkenaan.

Bagi memenuhi syarat yang dipersetujui dalam perjanjian itu, Malaysia dan Singapura mengemukakan Memorial dan Memorial Balas masing-masing pada 25 Mac 2004 dan 25 Jan 2005. Jawapan kedua-dua pihak dikemukakan kepada ICJ pada November 2005.

No comments: