Monday, May 26, 2008

MALAYSIA PERLU DAULATKAN PULAUNYA

MP Ledang, Hamim Samuri, berkata mulai sekarang semua pulau-pulau kecil mahupun "batu" sekalipun perlu dikenalpasti agar ia dipastikan berada dalam sempadan negara ini.

Dalam rancangan bualbicara Dari Parlimen RTM1 pagi ini, beliau berkata pulau-pulau itu perlu dipastikan kedaulatan termasuk pembinaan bangunan atau dimajukan agar ia tidak berulang seperti kes Pulau Batu Puteh (PBP) di Johor.

Antara pulau itu ialah Pulau Pisang yang perlu dibangunkan supaya ia terus kekal sebagai pulau milik negara ini. Jika ini tidak dilakukan, negara akan menerima kesannya dalam tempoh 50 tahun akan datang seperti nasib PBP.

MP Hamim juga mencadangkan agar Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melaksanakan pendekatan mengambil usahawan Industri Kecil dan Sederhana sebagai "anak angkat" mereka supaya segala bantuan boleh diberikan kepada kumpulan ini.

Menurutnya, antara tindakan yang boleh diambil oleh GLC ini ialah menanam modal atau memberikan teknologi tinggi agar usahawan ini boleh mempertingkatkan pengeluaran barangan mereka di samping memastikan ia bermutu untuk pasaran antarabangsa.

Mengulas soalan dadah yang dibincangkan di Parlimen pagi ini, beliau meminta semua persatuan bukan kerajaan (NGO) mengambil bahagian secara aktif untuk membantu dan merawat bekas penagih dadah.

Menurutnya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai bentuk bantuan termasuk dari segi menyedarkan penagih mengenai bahaya dadah dengan menyediakan modul-modul latihan yang diperbaiki dari semasa ke semasa. Kerajaan juga menyediakan kemahiran kepada penagih ini agar mereka boleh memberi sumbangan kepada masyarakat apabila sudah pulih kelak.

MP Hamim juga meminta rakyat negara ini memahami kepentingan mengadakan program PLKN yang didapati amat berfaedah untuk membentuk generasi pelapis negara di samping mempertingkatkan perpaduan di kalangan mereka. Janganlah asyik mengkritik PLKN sehingga membentuk fikiran sempit bahawa program itu tidak menguntungkan. Beliau meminta mereka membandingkan kelebihan yang diperolehi daripada program berkenaan berbanding insiden terpencil seperti kematian atau kejadian tertentu yang boleh berlaku di mana saja atau program apa sekalipun.

No comments: