KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Anggota-anggota Parlimen dari Umno hari ini menyatakan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai presiden Umno serta memberi jaminan bahawa mereka tidak akan meninggalkan parti sebagai disarankan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengisytihar keluar daripada Umno semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kenyataan sokongan itu dibuat pada satu pertemuan khas sejam bersama Perdana Menteri ketika sesi Parlimen berehat tengah hari tadi ekoran daripada tindakan Dr Mahathir itu.
"Melalui wakil Anggota Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz, Anggota Parlimen kita telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri untuk terus memimpin Umno dan Barisan Nasional.
"Kita juga menyatakan bahawa tidak ada dalam pengetahuan kita mana-mana ahli Umno yang akan meninggalkan parti berdasarkan permintaan Tun Dr Mahathir semalam," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.
Dr Mahathir semalam mengumumkan keputusan untuk keluar daripada Umno serta merta kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah, dan mengajak semua ahli Umno yang sependapat dengannya untuk mengikuti jejaknya tetapi bukan untuk menyertai parti lain.
Katanya beliau hanya akan kembali menyertai Umno selepas Abdullah meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.
Dr Mahathir yang pernah menerajui Umno dan negara selama 22 tahun turut mencadangkan supaya pemimpin cawangan dan bahagian parti melepaskan jawatan masing-masing sebagai isyarat kepada Abdullah supaya meletakkan jawatan dalam parti sebelum pemilihan Umno Disember ini.
Mohammed Nazri berkata sebanyak 95 peratus daripada kesemua 78 Anggota Parlimen dari Umno hadir pada pertemuan itu.
Timbalan Perdana Menteri dan timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden Umno, tidak hadir kerana masing-masing berada di luar negara bagi tugasan rasmi.
Ditanya sama ada langkah Dr Mahathir itu akan menjejaskan parti, Mohamed Nazri berkata tindakan keluar daripada parti bukanlah perkara baru dalam perjuangan Umno yang penuh cabaran dan gelora.
"Tetapi apa yang berlaku ini akan menambah kekuatan pada kita dan saya kira tidak ada ahli Umno yang mahu melihat parti kecundang.
"Malah bagi Anggota Parlimen, pengunduran Tun (Dr Mahathir) bukan satu isu, sebab bagi mereka tidak ada individu yang lebih penting dari parti," katanya.
Mengenai desas-desus akan berlaku pilihan raya mengejut tergempar disebabkan kemungkinan ada Anggota Parlimen BN yang akan mengikut langkah Dr Mahathir, beliau berkata tidak ada sebab untuk mengadakan pilihan raya baru.
"Pilihan raya baru hanya sekiranya ada lompat parti secara besar-besaran. Pengunduran Dr Mahathir ini langsung tidak menjejaskan komposisi Dewan Rakyat, tambahan Dr Mahathir bukan Anggota Parlimen," katanya.
Mohamed Nazri berkata kesemua Anggota Parlimen dari Umno juga sebulat suara bersetuju menubuhkan Kumpulan Wakil Rakyat Umno yang akan diketuai Anggota Parlimen Kimanis Datuk Anifah Aman.
Katanya kumpulan itu bertujuan memudahkan Anggota Parlimen dari Umno untuk berkumpul dan membincangkan pelbagai isu berhubung parti.
Di Pulau Pinang dan Kedah, Badan Perhubungan Umno kedua-dua negeri itu menjelaskan tidak ada mana-mana anggota keluar daripada parti.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai anggota Umno negeri itu mengikut jejak langkah Dr Mahathir.
Beliau berkata Umno negeri akan memantau perkembangan itu bagi memastikan perpaduan dalam kalangan 160,000 anggotanya terus kukuh.
Azhar berkata anggota parti itu tidak seharusnya mengikut rentak Dr Mahathir yang dilihat mempunyai masalah peribadi dengan Abdullah.
"Kalau beliau ada masalah peribadi dengan Pak Lah, berundinglah, dan jangan heret orang lain untuk keluar daripada parti. Masa nak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dulu pun, tiada sesiapa yang memaksa beliau. Itu tindakannya sendiri," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment