Wednesday, May 21, 2008

PERLIS YAKIN TUN UBAH PENDIRIAN

KANGAR, 20 Mei (Bernama) -- Badan Perhubungan Umno Perlis yakin mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengubah pendiriannya untuk terus berada di luar Umno jika beliau disajikan dengan langkah-langkah berkesan untuk memperkasakan parti itu.

Pengerusinya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata negarawan itu mempunyai alasan tersendiri untuk meninggalkan Umno tetapi tidak semestinya beliau akan kekal dengan keputusannya jika ada kaedah terbaik untuk memperkasakan parti.

Katanya beliau akan mengetuai rombongan Barisan Nasional (BN) bertemu dengan Dr Mahathir esok dan antara yang akan dicadangkan termasuk menubuhkan Majlis Veteran Umno.

Beliau memberitahu Bernama pada Selasa bahawa BN Perlis akan memulakan kempen memulihkan semangat anggota-anggota Umno supaya tidak mengikut jejak Dr Mahathir meninggalkan parti itu semalam selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Shahidan berharap pertemuan dengan Dr Mahathir itu nanti akan membawa kepada perkembangan menarik ke arah memperkukuhkan parti.

Bekas Menteri Besar Perlis itu berkata beliau dan rombongan BN Perlis telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri hari ini di Putrajaya mengenai perkembangan terkini politik di negeri itu.

Menurutnya antara yang telah dibangkitkan kepada Abdullah dalam pertemuan itu ialah berkaitan kedudukan kerajaan negeri yang disifatkannya sebagai belum serasi dengan semangat BN dan pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

No comments: