KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Beberapa anggota Parlimen kerajaan dan parti pembangkang hari ini sepakat mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang menghantar surat ugutan dan peluru hidup kepada pengerusi DAP Karpal Singh, semalam.
Pada satu persidangan akhbar bersama di lobi Parlimen hari ini, anggota-anggota Parlimen itu mendesak polis supaya membuat siasatan serta memberikan perlindungan sewajarnya terhadap Karpal.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata tindakan menghantar ugutan seumpama itu tidak langsung melambangkan semangat kenegaraan dan aspirasi nasional.
"Karpal tidak pernah menghina Raja-raja atau orang Melayu," kata Anggota Parlimen Bagan itu.
Semalam Karpal membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas menerima surat ugutan berserta sebutir peluru hidup pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Karpal dipetik oleh sebuah akhbar tempatan hari ini sebagai berkata nota ugutan itu antara lain meminta beliau supaya jangan mempersoalkan kuasa raja-raja Melayu dan ia merupakan amaran pertama.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula menyifatkan pihak yang berbuat demikian sebagai pengecut, dan beliau turut membayangkan kemungkinan ada pihak lain yang mengambil kesempatan daripada situasi itu semata-mata untuk mewujudkan kekecohan.
"Kalau ada yang tidak suka dengan apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan oleh anggota Parlimen, lakukan bantahan melalui saluran yang betul," kata Anggota Parlimen Padang Rengas itu.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn turut mengecam tindakan yang pada anggapannya tidak bertanggungjawab itu.
"Itu bukan cara yang diamalkan dalam Umno mahupun Barisan Nasional," katanya.
Wednesday, May 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment