Wednesday, May 14, 2008

PAS SEDIA TERIMA IBRAHIM ALI, KATA NIK AZIZ

KOTA BAHARU, 14 Mei (Bernama) -- PAS bersedia menerima Anggota Parlimen bebas kawasan Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali untuk menyertai parti itu sekiranya beliau mahu bersama-sama memperjuangkan Islam, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kalau dia boleh menerima (menyertai PAS), Alhamdulillah, kalau tidak apa boleh buat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Ibrahim, yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas dan dipecat daripada Umno, telah menyatakan kemungkinan menyertai sesebuah parti bagi meneruskan perjuangan politiknya.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Ibrahim bertanding sebagai calon PAS dan menewaskan Ahmad Rosdi Mahamad dari Barisan Nasional dengan majoriti 8,991 undi. Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, bagaimanapun berkata parti itu tidak akan membuat pelawaan rasmi kepada Ibrahim.

"Saya tidak suka mempelawa kerana saya suka memberi dakwah dan memberikan penerangan. Mempelawa itu tidak penting," katanya.

No comments: