Wednesday, May 14, 2008

APAKAH MOTIF DAN RAHSIA TINDAKAN KARPAL?

Oleh : Ibrahim Yahaya
(Belang Bertempat Akhbar Sinar Harian - 14 MEI 2008)
( http://www.akhbarcyber.blogspot.com )


Sehingga hari ini, sudah pasti ramai orang Melayu yang terus mengutuk tindakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, yang menghina Institusi Raja-Raja Melayu dengan mempertikaikan apa yang dilakukan oleh Raja-raja di Perak, Selangor dan Kelantan. Ini termasuk mempertikaikan siapa yang menyediakan teks yang dibaca oleh Yang DiPertuan Agong ketika titah Perasmian Dewan Rakyat ke-12 baru-baru ini.

Persoalannya apakah tujuan Karpal Singh berbuat demikian terutama selepas pembangkang menang besar di Pilihan Raya Umum Ke 12? Adakah memenangi 82 kerusi Parlimen dan menguasai lima negeri membolehkan mereka bercakap apa saja yang disukai? Adakah pemimpin pembangkang kini merasakan “terlalu kuat” sehingga boleh mempersoalkan kuasa Raja-Raja Melayu terutama di negeri yang ditadbirkan oleh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Anehnya, walaupun berpuluh-puluh laporan polis dibuat terhadapnya di seluruh negara, Karpal Singh terus mempertahankan kenyataan itu dan seolah-olah beliau tidak bersalah berbuat demikian.

Yang lebih menghairan sikap membisu pemimpin PAS dan PKR terutama berbangsa Melayu kecuali Datuk Nik Aziz Nik Mat. Menteri Besar Kelantan menyifatkan tindakan pemimpin DAP itu tidak betul dan menderhaka kepada Raja-raja. Apakah sikap membisu pemimpin Melayu di kedua-dua parti itu disebabkan mereka tidak mahu menyinggung perasaan rakan kongsi dalam parti campuran ? Apakah mereka ingin menjaga hati pemimpin DAP sehingga sanggup bersekongkol dan membisu walaupun hak Raja-Raja di persoal dan dipertikaikan? Apakah kita tidak mempertahankan maruah apabila orang lain menghina Raja-Raja kita, Raja-raja mereka juga? Ahli Parlimen Pasir Mas (Bebas), Datuk Ibrahim Ali, turut mempersoalkan mengapa pemimpin Melayu dalam PAS dan PKR membisu seribu bahasa. Bagi beliau, kebisuan ini menimbulkan 1001 persoalan mengenai motif hubungan antara DAP dan PKR.

UMNO yang merasakan tindakan Karpal Singh bertentangan dengan Perlembagaan, telah membuat laporan polis yang dilakukan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Menerusi laporan polis itu, UMNO berharap pihak berkuasa keselamatan akan menyiasat Karpal Singh berhubung dengan ungkapannya yang mempersoalkan titah SPB Yang Dipertuan Agong, Sultan Perak dan Sultan Selangor.

Yang menarik ialah teguran yang dibuat oleh Majlis DiRaja Selangor yang menyifatkan tindakan Karpal Singh itu tidak bertanggungjawab, tiada asas tertentu dan amat mengelirukan. Ia pasti menarik minat rakyat Selangor terutama orang Melayu mengenai bentuk tindakan yang akan diambil oleh kerajaan negeri di bawah PKR.

Apakah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, akan terus membisu atau bersama-sama dengan pemimpin Melayu lain menegur Karpal Singh demi kedaulatan Sultan Selangor? Ramai yang akan mengingati bahawa Tan Sri Khalid pernah mendapat nikmat daripada kejayaan yang diperjuangkan oleh kerajaan BN sebelum ini termasuk pemberian saham kepadanya dalam syarikat tertentu. Malah beliau boleh dianggap sebagai "DEB poster boy" kerana mendapat pelbagai rahmat dan nikmat daripada kerajaan menerusi dasar untuk meramaikan lagi bilangan tenaga professional dalam bidang pengurusan perniagaan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab Tan Sri Khalid untuk menyuarakan rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap golongan yang mempersoal dan mempertikaikan tindakan Raja-Raja mereka, Raja-raja rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan Speaker Selangor, Teng Chang Khim, menyifatkan Karpal Singh kurang cerdik dalam pendekatan poltik yang diambil khasnya mengenai isu pertikaian Karpal terhadap kuasa Sultan Perak yang berkaitan kuasa Sultan dan Hal Ehwal Islam. Dalam akhbar The Star pada 12 Mei lalu, Teng dilaporkan berkata, “Karpal Singh may be right in law, but this is not merely a legal question, it involves politics. Therefore, I disagree with the approach taken to openly challenge the royal intervention,”. Teng mengakui bahawa Institusi Di Raja, di mana Sultan ialah ketua agama Islam. Ini termasuklah hal ehwal politik dan agama.
Teng dilihat keseorangan dalam mempersoalkan tindakan Karpal Singh. Pemimpin DAP pun turut membisu dan tidak menyokong tindakan Karpal itu. Ini diakui oleh Ahli Parlimen itu dalam satu sidang media di pejabatnya.

Berbalik kepada kenyataan Karpal Singh itu, mungkin kita boleh mengesyaki ada motif tertentu di sebalik kenyataan Ahli Parlimen DAP itu. Apakah beliau mendapat arahan daripada pihak tertentu untuk mempersoalkan hak Raja-Raja Melayu? Jika benar, dari mana datangnya arahan untuk mengeluarkan kenyataan seumpama itu yang boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu. Sebagai peguam, Karpal Singh sepatutnya memahami Perlembagaan dan peranan Raja-Raja mengikut Perlembangaan.

Eloklah diperturunkan tulisan dalam satu artikel media arus perdana yang menerangkan mengenai kedudukan Raja-raja. Menurut artikel itu, kedudukan Raja-raja mengikut Perlembagaan termasuklah peranan Raja-Raja sebagai simbol bagi autoriti awam, perpaduan, kesinambungan dan identiti negara. Seperti di negara-negara lain, Raja dan sistem beraja menjadi jati diri negara yang merangkum sejarah dan intipatinya. Raja-Raja juga adalah pelindung kepada agama dan demokrasi. Ini yang harus difahami apabila memperkatakan kuasa budi bicara Raja-Raja dan Yang di Pertuan Agong - dalam soal agama, pelantikan kerajaan dan pembubaran dewan. Konsep dan peranan itu juga harus sentiasa diingati dalam kita memahami segala keistimewaan yang diberikan kepada Raja-Raja oleh perlembagaan dan undang-undang.

No comments: