Wednesday, May 14, 2008

PEMIMPIN HINDRAF KEKAL DI BAWAH TAHANAN ISA

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) akan kekal ditahan di pusat tahanan Kamunting di Taiping, Perak.

Ini berikutan Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan penahanan mereka mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mematuhi undang-undang.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Alauddin Mohd Sheriff memutuskan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam kapasitinya ketika itu sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri berhak mengeluarkan perintah tahanan selama dua tahun dan mematuhi keperluan prosedur di bawah akta itu.

Pemimpin Hindraf berkenaan ialah peguam M. Manoharan, 46, yang juga anggota Parlimen Kota Alam Shah, P. Uthayakumar, 46, V. Ganabatirau, 40, R. Kenghadharan, 40, dan bekas pegawai bank K. Vasantha Kumar, 36.

Kelima-lima mereka ditahan pada 13 Dis lepas kerana terbabit dalam penganjuran demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur pada 25 Nov, dan kerana mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap kerajaan.

Mereka mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan selepas gagal mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi bagi pembebasan mereka setelah mendakwa penahanan mereka tidak mematuhi undang-undang.

Dalam keputusan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan habeas corpus lima lelaki itu, Alauddin berkata ia (Mahkamah Tinggi) telah membuat penelitian terperinci terhadap afidavit para responden, termasuk afidavit perdana menteri apabila ia memutuskan penahanan mereka adalah sah dan mengikut undang-undang.

Kelima-lima mereka menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Komandan pusat tahanan itu sebagai responden.

"Pesuruhjaya Kehakiman, seperti terkandung dalam penghakimannya, telah meneliti afidavit para responden, perenggan demi perengganh," kata Alauddin.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, dalam afidavit balasannya, mendakwa pemimpin Hindraf berkenaan cuba mendapatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap perjuangan mereka dengan mendapatkan sokongan daripada pertubuhan pengganas, Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).

Alauddin, semasa menyampaikan penghakiman lisan itu berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Ab Aziz juga memutuskan bahawa tindakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri mengeluarkan perintah tahanan terhadap kelima-lima mereka bukan dibuat secara automatik atau tanpa asas, tetapi berasaskan penyiasatan yang dijalankan.

"Tidak wujud penyalaharahan daripada segi undang-undang oleh pesuruhjaya kehakiman," kata Alauddin yang bersidang bersama-sama dua Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Hashim Yusoff.

Di luar mahkamah, peguam Karpal Singh yang mewakili lima pemimpin Hindraf itu melahirkan rasa kecewa bahawa mahkamah tertinggi di negara ini tidak memberi perhatian kepada isu undang-undang yang beliau bangkitkan dalam prosiding.

Katanya beliau akan memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan hari ini.

Karpal berharap untuk memfailkan permohonan semakan itu menjelang Isnin, dan juga akan menulis surat kepada mahkamah memohon agar mereka diberikan alasan penghakiman bertulis.

"Kami akan berjumpa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk meminta beliau menimbangkan membatalkan perintah penahanan itu dan membebaskan mereka (lima pemimpin Hindraf)," katanya.

Karpal juga berkata beliau akan memfailkan permohonan habeas corpus yang kedua bagi pembebasan kelima-lima pemimpin itu atas alasan pengerusi Lembaga Penasihat ISA tidak mematuhi prosedur.

Katanya beliau juga bercadang mengusahakan rayuan antarabangsa bagi mendapatkan representasi yang efektif, terutamanya oleh Amnesty International dan badan hak asasi manusia yang lain.

No comments: