Thursday, May 8, 2008

MP SABAH TETAP BERSAMA BN

Sejak Dewan Rakyat bersidang, pembangkang berusaha untuk menarik perhatian MP dari Sabah dan Sarawak untuk "melompat" ke parti mereka dengan tindakan menunjukkan simpati terhadap masalah penduduk di kedua-dua negeri. Tindakan mereka semakin galak ketika wakil rakyat dari Sabah terutama MP Putatan dan MP Ranau mahu kerajaan terus membantu pengundi mereka untuk menikmati pembangunan sama seperti rakyat di Semenanjung.

MP pembangkang menggunakan pelbagai istilah seperti berpindah daripada rumah "banglo" ke "rumah teres", "bertukar parti" dan "mari bersama kami" untuk menyatakan hasrat mereka untuk memujuk MP dari Sabah. Malah, MP Titiwangsa mengatakan bahawa penduduk Sabah boleh mendapat projek-projek secara cepat jika sekiranya berlaku kematian wakil rakyat atau kekosongan kerusi Parlimen. Kenyataan itu dilihat sebagai strategi politik murahan yang tidak mengambilkira sentimen penduduk terutamanya pengundi di kawasan yang dimenangi oleh BN. Apakah MP pembangkang mahu menggalakkan rakyat mendoakan wakil rakyat di Sabah mati atau mengosongkan kerusi mereka? Apakah ini sejajar dengan apa yang ingin dilakukan oleh PKR untuk membolehkan "boss" mereka untuk bertanding pada pilihan raya?

Apa yang menyedihkan kenyataan mengenai kematian itu dikemukakan oleh MP PAS yang sepatutnya memahami bahawa hidup mati itu ditentukan oleh Allah SWT. Beliau seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap bodoh dan terlalu emosi semata-mata untuk memujuk MP Sabah menyokong mereka.

Ramai pihak yang menyifatkan pendirikan MP Sabah itu amat berani dan setia kepada BN kerana mereka mempercayai hanya BN mampu menunaikan tanggungjawab mereka. Ini terbukti sejak 51 tahun lalu malah seorang MP dari Sarawak berkata bahawa kedudukan geografi yang begitu luas antara faktor yang menyebabkan pembangunan terpaksa dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Tetapi beliau yakin pembangunan tetap akan sampai ke bawah kerana kerajaan sentiasa mengamalkan pendirian untuk membantu rakyat sepanjang masa.

Namun begitu, MP Sabah perlu mengambil langkah berhati-hati agar tidak terjebak dengan tipu helah dan pujuk rayu MP pembangkang. Ini selari dengan beberapa pepatah seperti "mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan" dan "yang dikandung berciciran, yang dikejar tidak dapat".

No comments: