Thursday, August 14, 2008

PERTEMUAN ARIFF-ANWAR IBARAT BUKU BERTEMU DENGAN RUAS


BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini akan menyaksikan pertarungan ibarat 'buku bertemu ruas' apabila penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah.

Teka teki mengenai siapakah calon BN yang akan menentang Anwar akhirnya terjawab apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Timbalan Presiden Umno mengumumkannya nama Ariff Shah di hadapan kira-kira 3,000 anggota jentera BN malam tadi.

Arif Shah adalah seorang ahli politik yang semakin menyerlah di negeri ini dan beliau adalah satu-satunya wakil rakyat BN yang menang dalam kubu kuat PKR apabila berjaya mempertahankan kerusi DUN Seberang Jaya dalam parlimen Permatang Pauh itu untuk penggal kedua.

Antara kelebihan Arif Shah ialah beliau disegani oleh musuh dan rakan kerana bekerja tanpa mengira kaum dan fahaman politik malah beliau juga telah banyak menyelesaikan masalah tempatan yang dihadapi oleh para penyokong PKR sendiri. "Pemilihan Ariff adalah kerana mengambil kira faktor kemenangannya di DUN Seberang Jaya dan faktor setempat", kata Najib.

Arif Shah adalah seorang yang mengetahui strategi politik Anwar kerana beliau pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh ketika Anwar menerajui bahagian itu.
Beliau juga lebih mengenali pengundi di Permatang Pauh berbanding Anwar kerana Arif Shah yang tinggal di Seberang Jaya sentiasa berada di kawasannya dan turut menjalankan kerja-kerja membantu rakyat di ketiga-tiga DUN di Permatang Pauh setelah kesemua wakil rakyat BN yang lain tewas.

Arif Shah, yang menerima pendidikan di sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan Cina, melahirkan keyakinannya untuk memenangi kerusi itu walaupun dengan majoriti yang kecil. "Saya yakin menang walaupun dengan majoriti yang kecil kerana saya mendapat sokongan rakyat dari semua kaum," katanya yang fasih bertutur dalam bahasa Mandarin dan Hokkien. Katanya, sudah tiba masanya BN menebus semula kekalahan selama tiga kali di Parlimen Permatang Pauh itu dan berharap pilihan raya kecil ini akan membawa perubahan yang sangat diharapkan oleh masyarakat setempat.

Bagi Anwar pula, beliau tidak kisah siapa yang menjadi pencabarnya pada pilihan raya kecil itu nanti. "Saya tak kisah siapa calon yang ditentukan oleh pihak sebelah sana (BN). Saya bukan nak gaduh dengan Arif Shah. Kalau dia nak bertanding itu hak dia. "Lagipun dia dah menang kawasan Seberang Jaya," katanya ketika berceramah di Kampung Kota, Permatang Pasir malam tadi. - Bernama

No comments: