Saturday, August 16, 2008

PERTANDINGAN 3 PENJURU DI PERMATANG PAUH


BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti serpihan Pas, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim). BN mempertaruhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, manakala PKR menampilkan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 61. Akim pula menerusi Presidennya, Hanafi Mamat.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Biro Pilihan Raya PKR, Dr Mansor Othman yang turut menyerahkan borang pencalonan dan dikatakan bertanding sebagai calon Bebas, bagaimanapun menarik diri. Pengesahan calon yang bertanding dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya jam 11.45 pagi selepas tempoh penghantaran borang pencalonan tamat jam 10 pagi dan sejam berikutnya untuk bantahan. Terdahulu, semua calon yang bertanding diiringi pemimpin dan penyokong masing-masing masuk ke pusat penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun, yang dibuka mulai jam 9 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2007 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2008 yang diwartakan 19 Jun lalu. Ini bermakna seramai 58,459 pemilih berdaftar terdiri daripada 57,969 pengundi biasa dan 490 pengundi pos layak mengundi. Ia pilihan raya kecil yang pertama diadakan selepas pilihan raya umum ke-12, pada 8 Mac lalu-Berita Harian

No comments: