Oleh: Tulip Desa
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin dengan keupayaan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah untuk menumbangkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, 26 Ogos ini.Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin tempatan Arif Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya mempunyai pengaruh dan populariti tersendiri, khusus di kalangan penduduk kawasannya.
Beliau berkata, sejak diberi kepercayaan sebagai ADUN BN di salah satu kawasan DUN di bawah Permatang Pauh, Arif Shah telah membuktikan kewibawaan dan keprihatinannya terhadap masalah yang sering dihadapi oleh penduduk di kawasan berkenaan.''Beliau adalah seorang calon yang difikirkan layak untuk menang kerana beliau merupakan seorang pemimpin dari Permatang Pauh yang juga telah banyak berjasa di kawasan itu.
''Saya yakin dengan kemampuannya. Saya juga yakin beliau akan dapat menyaingi populariti Anwar Ibrahim di Permatang Pauh,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.Beliau mengulas pemilihan Arif Shah sebagai calon BN untuk menentang Anwar pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Pemilihan Arif Shah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis pelancaran jentera BN bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh, malam tadi. Arif Shah ketika memberi reaksi terhadap pemilihannya bertekad untuk mengakhiri sumpahan 10 tahun kegagalan BN menawan Permatang Pauh.Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, sebagai ahli UMNO, Arif Shah tidak pernah menimbulkan sebarang masalah dan beliau ternyata mempunyai kesetiaan yang tinggi kepada parti.
''Saya menganggap Arif Shah adalah calon yang terbaik di kalangan kepimpinan parti di Permatang Pauh ketika ini. ''Saya juga mendapat maklumat pencalonan ini telah diterima ramai termasuk daripada pemimpin-pemimpin yang berminat untuk menjadi calon sebelum ini. Mereka menerima Arif Shah sebagai calon BN,'' katanya lagi.
Dalam pada itu beliau berkata, keputusan pucuk pimpinan memilih Arif Shah juga berasaskan kepada tinjauan-tinjauan umum serta reaksi daripada rakyat serta ahli-ahli parti di kawasan tersebut.''Kita juga mendengar pendapat daripada rakyat. Ia bertujuan supaya calon yang kita pilih adalah di kalangan yang terbaik. Atas asas ini kita namakan beliau sebagai calon,'' ujarnya.Ketika ditanya berapa lama tempoh yang diperlukan oleh pucuk pimpinan untuk membuat keputusan memilih calon, Perdana Menteri berkata: ''Bila sebut sahaja ada pilihan raya kecil, kita mula perhatikan siapakah calon yang sesuai.''
Sumber: Utusan Malaysia, 14 Ogos 2008
*****************************************************************************
Tulip Desa
Pilih Raya Kecil Permatang Pauh bakal menyaksikan pertarungan sengit di antara Anwar Ibrahim dan Ariff Shah. DSAI berdepan dengan pertarungan moral yang sedikit sebanyak akan memberi kesan pada undi PKR. Sebaliknya, Ariff Shah mempunyai personaliti yang positif, berintegriti dan berhati rakyat yang memberikannya bonus untuk meraih undi yang banyak untuk pilihan raya kecil ini. Justeru itu, DSAI dan PKR dikatakan mula cemas dan bimbang jikalau target mereka tidak mencapai sasarannya. Nampaknya, jalan DSAI menuju ke Putrajaya semakin gelap dan berkabus untuk menggapai impiannya untuk menjadi PM. Keyakinan Ariff Shah untuk merampas kembali Permatang Pauh daripada PKR memberi semangat dan nafas baru kepada jentera pilihan raya BN untuk lebih bekerja keras bagi memastikan kemenangan milik Barisan Nasional.
No comments:
Post a Comment