Oleh : Tulip Desa
Dato’ Seri Anwar Anwar Ibrahim adalah manusia yang tidak mahu kalah. Atau sekurang-kurangnya dia tidak mahu kelihatan kalah. Biar kampung tergadai, asalkan menang sorak. Apabila disingkirkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dari UMNO, dia melawan. Anwar melawan bukan kerana prinsip parti UMNO. Adalah satu pembohongan kalau Anwar mengatakan dia keluar UMNO kerana tidak setuju dengan perjuangan parti itu. Anwar tidak pernah keluar UMNO. Hakikatnya ialah Anwar melawan UMNO kerana UMNO tidak mahu kepada Anwar.
Oleh kerana ingin terus kekal dalam parti UMNOlah, maka Anwar membuat demonstrasi besar-besaran apabila disingkirkan dari UMNO. Disebabkan tidak ada peluang untuk masuk UMNO semula, barulah Anwar “berjanji” dengan PAS dan DAP bahawa dia tidak akan masuk UMNO lagi. Dalam soal “janji”, Anwar memang cekap. Sewaktu dalam UMNO dulu, Anwar pernah berjanji untuk tidak melawan Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO. Akhirnya, kita dapat melihat apa yang berlaku. Itu dulu. Sekarang kalangan dalaman UMNO tahu, bahawa beberapa orang Anwar cukup rapat dengan beberapa orang pemimpin atasan UMNO. Mereka masih merisik dan bekerjasama. Nanti kita dedahkan siapakah mereka itu.
Itulah politik Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim adalah manusia yang tidak mahu kalah atau kelihatan kalah. Prinsip yang sama itulah dibawa dalam politik parti pembangkang. Kalau Lim Kit Siang ada Lim Guan Eng dan Betty Chew, maka Anwar Ibrahim ada Datin Seri Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah. Kalau DAP ialah Parti Tiga Beranak, maka PKR juga mesti menjadi Parti Tiga Beranak.
Lantaran itulah, maka Wan Azizah diumumkan akan kekal bertanding di Permatang Pauh dan Nurul Izzah khabarnya akan bertanding di Lembah Pantai melawan Dato’ Seri Shahrizat Abd Jalil. Sejarah politik di Lembah Pantai tidak pernah menyebelahi PKR. Tetapi itu tidak penting bagi Anwar. Yang penting ialah membina dinasti politiknya. Penganalisis politik berpendapat tindakan Anwar meletakkan Nurul Izzah di Lembah Pantai ialah untuk menentukan dia terus menguasai parti itu. Dia tidak boleh bergantung selama-lamanya dengan loyalist parti seperti Azmin Ali. Anwar belajar betapa loyalist seperti Ezam Mohd Nor dan Nalakaruppan pun boleh meninggalkannya.
Sementara itu, sebahagian penganalisis politik melihat ini sebagai bukti bahawa PKR ketandusan pemimpin yang berwibawa. Malah ada yang mengatakan, kalau teringin hendak menjadi calon pilihanraya, masuk saja PKR, tentu dapat tempat. Ini berbeza dengan parti-parti seperti UMNO, MCA atau MIC. Malah, dalam PAS dan DAP pun, peluang untuk menjadi calon agak kompetitif. Parti-parti yang sudah establish ini agak selektif. Mereka tidak tangkap muat. Di Selangor sebagai contoh, calon-calon UMNO akan melalui pelbagai tapisan. Difahamkan UMNO tidak akan meletakkan calon yang mempunyai tunggakan cukai pendapatan. Ini adalah contoh bagaimana parti-parti politik ini membuat tapisan.
Tetapi dalam PKR, tidak begitu halnya. Untuk menjadi calon PKR cukup mudah. Sebab itulah, apabila DAP dan PAS bermadu hasil dengan suami yang sama iaitu, PKR, maka timbul cakap-cakap adakah perkahwinan ini akan membuahkan anak. Isteri-isteri seperti PAS dan DAP mungkin subur, tetapi kalau suami mandul, susah sikit mendapat anak. Tak mengapalah, itu kisah suami-isteri. Kita nak cakap soal politik di sini. Ada yang kata, PAS dan DAP mungkin akan bertambah beberapa kerusi parlimen. Tetapi PKR mungkin tidak ada apa-apa kerusi lagi selepas ini. Malah, beberapa laporan yang diterima menunjukkan bahawa UMNO diramalkan akan mendapat kembali kerusi Permatang Pauh yang dipegang oleh Wan Azizah selama satu penggal.
Disebabkan tuduhan bahawa PKR mandul itulah, maka PKR harus menang. Anwar tidak ada pilihan melainkan menggadaikan apa sahaja yang dia ada. Dalam hal ini, dia terpaksa mempertaruhkan Nurul Izzah di Lembah Pantai. Itulah harapan terbaik yang mampu ditawarkan oleh PKR disebabkan kedudukan Wan Azizah di Permatang Pauh adalah cukup rapuh. Walaupun Anwar sering bercakap menentang kroni, PKR terpaksa meletakkan Nurul Izzah kerana Anwar tidak ada banyak pilihan. Satu-satunya pilihan yang ada ialah menjadikan PKR sebagai Parti Tiga Beranak!
No comments:
Post a Comment