BUKIT MERTAJAM 12 Ogos - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yakin Barisan Nasional (BN) mampu memberi tentangan hebat kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh berdasarkan kepada semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh ahli UMNO bahagian berkenaan.
Menurut beliau, dengan adanya semangat perpaduan itu, BN mampu mengatasi Anwar dan merampas kembali Parlimen Permatang Pauh yang sebelum ini menjadi milik parti tersebut.
Malah, katanya, tiga orang yang bersaing untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh juga telah melupakan persaingan itu untuk sementara waktu dengan berikrar memberikan kerjasama penuh bagi membantu kemenangan BN.
''Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dan dua lagi calon yang akan bertanding merebut jawatan tersebut iaitu Datuk Pirdaus Ismail serta Datuk Ariff Shah Omar Shah telah duduk semeja dalam hal ini.
''Abdul Jalil juga telah dilantik menjadi pengarah jentera pilihan raya, Ariff menjadi timbalannya manakala Pirdaus pula dilantik sebagai pengerusi jentera bahagian protokol," katanya selepas menghadiri perjumpaan dengan ahli UMNO kawasan berkenaan di Dewan Orang Ramai di Mengkuang Titi di sini hari ini.
Mohd. Ali berkata, ketiga-tiga mereka juga telah menyatakan sokongan dan akan menyokong sesiapa juga yang dilantik sebagai calon untuk menentang Anwar pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.
Mengenai Anwar, Mohd. Ali yang dilantik sebagai bapa angkat untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, iaitu salah satu DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh berkata, penasihat PKR itu seolah-olah kehilangan arah selepas didakwa dengan tuduhan liwat.
Kata beliau, sepatutnya Anwar menyelesaikan isu berkenaan di mahkamah dan bukannya melibatkan rakyat dengan meminta isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.
''Kes liwat itu adalah isu peribadi antara Anwar dengan pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, bukannya dengan kerajaan justeru kenapa rakyat dianiaya dan buang masa serta kewangan.
''Rakyat menjadi mangsa, jadi mereka perlu menolak politik seperti ini kerana walaupun pilihan raya kecil ini berakhir, Anwar masih perlu berhadapan dengan kesnya yang akan disebut di mahkamah bulan depan," katanya.
Anwar, ujar beliau, sepatutnya bertanggungjawab di atas isu sendiri dan perlu menyelesaikannya tanpa melibatkan kerajaan, orang ramai, polis dan pengundi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment