MP Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar, petang ini menjadi tumpuan ahli dewan kerana ucapannya bernas yang merangkumi pelbagai perkara termasuk meminta semua MP di negara ini berkerjasama untuk memperjuangkan kepentingan rakyat.
Baginya, kemerosotan undi Barisan Nasional (BN) di seluruh negara bukanlah satu tsunami politik yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang tetapi lebih kepada konsep pasang surut yang melanda parti kerajaan. Menurutnya, ketika ini, parti kerajaan banyak kalah sebaliknya parti pembangkang pula bertambah kerusi kemenangannya. Ini sebenarnya adalah satu hikmah kepada pemimpin parti komponen BN untuk bekerja lebih keras untuk memastikan rakyat menyokong mereka pada PRU13.
Beliau yakin kerajaan BN akan kembali semula dengan satu tahap yang lebih membanggakan jika semua MP BN bekerja keras dan tidak melalaikan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing. Sehubungan itu, Datuk Bung Mokhtar menegaskan apa yang berlaku ialah satu perubahan pengundian bukannya hasrat rakyat untuk menukarkan kerajaan. Kerajaan BN, katanya, tetap menjadi pilihan rakyat ketika ini dan masa hadapan.
Datuk Bung yang memberi laluan beberapa MP Pembangkang wanita (MP Lembah Pantai, MP Titiwangsa, MP Kuantan) kerana menghormati mereka, menegaskan tuduhan pembangkang bahawa Kerajaan BN mengamalkan kronisme dan nepotisme adalah tidak benar sebaliknya parti campuran pembangkant itulah berbuat demikian. Buktinya boleh dilihat di Parlimen di mana gandingan anak beranak seperti Lim Kit Siang/Guan Eng, DS Wan Azizah Wan Ismail/Nurul Izzah, Karpal Singh/Govind. Inilah yang dikatakan nepotisme yang terus diamalkan oleh pembangkang.
Dalam pada itu, Datuk Bung juga meminta pembangkang tidak membuat pelbagai tuduhan kepada pasukan polis yang banyak berjasa untuk memastikan negara ini aman dan tenteram. Baginya tuduhan MP Batu Gajah bahawa kini ramai wanita diperkosa dan tidak selamat untuk berjalan malam adalah satu tohmahan belaka. Hakikatnya, daripada pemerhatiannya di Kuala Lumpur, wanita tetap bebas berjalan dengan selamatnya. Malah, katanya, beliau sendiri yang "takut" melihat ramai wanita berjalan berdekatannya dengan bebas tanpa rasa tidak selamat.
Beliau juga mahu kerajaan memastikan rakyat di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak agar mereka mendapat nikmat pembangunan. Ini penting bagi memastikan nasib mereka terbela dan tidak terus ketinggalan. Ini bukan bermakna kerajaan tidak membantu mereka tetapi hanya mempertingkatkan lagi terutama di kawasan yang masih memerlukan.