Wednesday, May 7, 2008

JADIKAN PARLIMEN KELAS PERTAMA

MP Kubang Kerian, Mohd Sallehudin Ayub, mahu ahli Dewan Rakyat memastikan Parlimen digunakan dengan sebaik-baiknya untuk kebaikan generasi akan datang. Parlimen perlu menjadi institusi yang berintegriti dan meminta MP bersama-sama meningkatkan paradigma untuk menjadikan Parlimen ini berprestij seperti di negara maju seperti Britain, Jepun dan Korea Selatan. Rakyat berbangga dengan Parlimen mereka.

Ini penting kerana rakyat akan datang melihat dalam hansard Parlimen untuk menyaksikan apa yang sebenar berlaku sekarang. Mungkin jika Parlimen ini tidak digunakan dengan sebaik-baiknya, mereka pasti akan kecewa dan sedih kerana mengetahui MP sekarang membincangkan isu-isu remeh dan sering diulang-ulang. MP sepatutnya mengemukakan cadangan bernas dan membincangkan segala isu yang penting untuk rakyat.

Beliau menyebut tokoh terkenal seperti Sultan Azlah Shah, Tun Salleh Abbas, Tun Suffian yang telah mengharumkan nama negara dan apa yang dilakukan kerajaan sekarang ini diharapkan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi perundangan negara. Belia mahu Peguam Negara (AG) yang memaparkan kehebatan berhujjah di Hague, Belanda tidak turun ke bawah semata-mata untuk mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret/Mahkamah Sesyen. Tindakan AG "turun" untuk mendapat perintah reman ini perlu dielakkan untuk menjaga martabat institusi perundangan.

Mohd Sallehudin juga mahu pihak polis tidak menyalahguna kuasa kerana beliau sendiri menerima surat tertentu daripada pihak tertentu kepada pihak tertinggi polis. Beliau juga mengemukakan maklumat berhubung sidang media Pengarah Pengurusan Polis yang mendedahkan mengenai pelbagai perkara yang menimbulkan pelbgai pertanyaan.

Beliau mahu Menteri Pengajian Tinggi pergi ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan isu perlantikan seorang pensyarah, Dr Tan Hock Lim yang mendapat gaji RM168,000 sebulan. Baginya, bukanlah isu bangsa tetapi mengenai pendapatan yang diterima. Baginya, wang rakyat dihabiskan untuk membayar seorang pensyarah. Beliau juga kerajaan mengkaji AUKU.

Dalam pada itu, pemerhati politik berpendapat tidak ada pihak dalam kerajaan yang ingin mencemarkan integriti Parlimen. Tindakan Kementerian Penerangan untuk mengadakan siaran langsung adalah langkah asal untuk memaparkan bagaimana MP di negara ini mengambil bahagian dalam perbahasan. Bagaimanapun, apa yang berlaku di hari pertama amat memalukan dan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek sendiri terpaksa meminta maaf kepada rakyat dengan gelagat MP yang bertindak seperti budak-budak. Ini yang ingin diperjuangkan oleh kerajaan selama ini agar semua MP tidak kira kerajaan atau pembangkang mengambil bahagian dengan baik dan bersopan.

Dalam pada itu, kerajaan sejak dulu lagi memastikan individu yang ingin menjadi Ahli Parlimen adalah seorang yang bersih dan tidak terbabit dalam kegiatan jenayah. Ini penting untuk memastikan MP adalah kumpulan yang berintegriti dan mampu memperjuangkan nasib rakyat di Parlimen. Tapisan ini penting untuk memastikan MP tidak melakukan kegiatan yang tidak bermaruah dan memalukan. Adalah perlu ditapis terlebih dulu daripada dibiarkan menjadi MP tetapi terus melakukan jenayah. Usaha ini semata-mata untuk memastikan Parlimen di negara ini berintegriti dan bermaruah.