Monday, May 12, 2008

PENGHAPUSAN AKTA MEMERLUKAN MEDIA ADIL DAN BERTANGGUNGJAWAB

MP Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata kerajaan boleh menghapuskan Akta Mesin Cetak jika media di negara ini serius untuk berlaku adil dan bertanggungjawab. Beliau mencadangkan perkara itu ketika membahas titah ucapan SPB Yang Dipertuan Agong di Parlimen hari ini.

Beliau menegaskan satu langkah bersepadu perlu diambil untuk memperkukuhkan media tempatan sama ada media arus perdana atau media alternatif. Ruang memperbaiki media ini perlu diperkukuhkan dengan satu reformasi menyeluruh.

Menurutnya, perubahan ini harus dijana halus dan diteliti agar media dilihat sebagai institusi bermutu tinggi dan berwibawa. Beliau mengalu-alukan hasrat Menteri Dalam Negeri yang mahu mengkaji peraturan memerlukan lesen bagi menerbitkan akhbar.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin mahu wartawan di negara ini sama ada di media arus perdana atau media baru seperti blog atau portal berita perlu mempunyai etika kewartawan dan bertanggungjawab terhadap bahan yang disiarkan. Mereka tidak seharusnya menyiarkan berita-berita palsu dan sentiasa bertanggungjawab terhadap apa jua yang dipaparkan.

Beliau berpendapat jika wujud profesionalisme, penyeliaan media boleh diserahkan kepada badan yang bebas seperti Majlis Media (Media Council) yang boleh menyelia semua bahan yang disiarkan di media cetak dan media elektronik.

No comments: