Thursday, May 8, 2008

MP PASIR MAS PERTAHANKAN ISA

MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, petang ini mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia adalah bersifat preventif untuk mengelakkan berlakunya kekacauan di negara pelbagai kaum ini.

Beliau yang pernah ditahan dua kali di bawah ISA membidas pihak-pihak yang ingin menghapuskannya tanpa memahami tujuan akta itu diperkenalkan. Beliau telah melalui pengalaman sebagai tahanan ISA dan tidak pernah mengembar-gemburkan perkara itu kerana memahami kepentingan akta berkenaan.

Ada golongan yang ditahan di bawah ISA mendabik dada sebagai pejuang sedangkan mereka tahu bahawa ISA dikenakan terhadap mereka kerana faktor keselamatan negara. Menurut beliau, ada MP di dalam dewan yang cakap berdegar-degar tetapi menangis ketika ditahan selama tiga hari. Mereka perlu insaf dengan apa yang dilakukan selama ini. Bagaimanapun, beliau mencadangkan agar kerajaan meliti beberapa klausa dalam akta itu.

Datuk Ibrahim juga mempertahankan kepentingan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang disifatkan amat penting dalam membela nasib golongan miskin. Golongan ini bukan saja bangsa Melayu tetapi semua kaum di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak. Baginya, dasar itu baik tetapi pelaksanaannya perlu diawasi agar tidak diselewengkan. Memastikan DEB terus berjalan lancar yang sudah pasti membantu golongan miskin adalah lebih penting daripada menuduh dasar itu menguntungkan hanya satu pihak.

MP Pasir Mas itu yang lantang bersuara mengatakan beliau akan terus menegur yang tidak betul dan memuji perkara yang baik, mahu kerajaan melihat kepentingan pelbagai pihak termasuk orang kurang upaya (OKU). Ini termasuk pemberian biasiswa hanya kepada mereka yang mendapat 10A dan mempersoalkan apa akan jadi dengan pelajar yang mendapat markah kurang daripada itu.

Beliau mengingatkan semua rakyat negara ini bahawa di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Beliau memuji pihak polis yang telah menjaga keselamatan negara ini.

No comments: