Friday, May 9, 2008

PM: PENGUMUMAN TENTANG ISU BERAS ISNIN INI

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan akan mengumumkan tindakan yang akan diambil bagi menangani isu beras negara pada Isnin depan.

Perdana Menteri berkata hari ini jawatankuasa kabinet mengenai inflasi akan menghalusi cadangan bagi tindakan yang perlu diambil sebelum disahkan atas arahan kabinet.

"Saya telah jelaskan tindakan yang dicadangkan untuk diambil dan pada isnin akan datang, apabila jawatankuasa itu bermesyuarat, semua itu akan disahkan atas arahan kabinet," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi UMNO disini.

Abdullah berkata isu padi dan beras berkait rapat dengan krisis kekurangan bekalan makanan yang diperkatakan di seluruh dunia.

"Jadi kita nak pastikan, kita tidak kekurangan bekalan makanan. Beras amat penting kepada negara kita," katanya.

Abdullah berkata, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed juga telah memaklumkan kepada majlis tertinggi tentang lawatannya ke Thailand berkenaan cadangan Malaysia untuk membeli beras.

No comments: