Monday, May 12, 2008

KENYATAAN PEMIMPIN SABAH JANGAN DISALAHERTIKAN

MP Kalabakan, Datuk Ghafur Salleh, mahu pemimpin BN tidak menyalahertikan ucapan yang dibuat oleh MP dari Sabah seperti MP Kimanis dan MP Kota Belud yang mahu kerajaan memberi perhatian untuk membantu rakyat Sabah.

Menurutnya, apa yang disuarakan oleh MP Sabah adalah masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah selama ini terutama di luar bandar seperti masalah kenaikan harga, masalah air, bekalan elektrik dan pengangkutan. Baginya, ada masalah tidak dapat diselesaikan kerana sikap kerajaan yang boleh diibaratkan sebagai "masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri". Dalam ertikata lain tiada tindakan dibuat.

Baginya, tsunami politik yang berlaku sekarang terutama di Semananjung, mungkin akan berlaku di Sabah jika isu-isu yang dibangkitkan oleh MP Sabah tidak ditangani oleh kerajaan. Beliau yang memetik kata-kata MP Kota Belud yang mahu kerajaan memberi tumpuan untuk membantu rakyat di bawah.

Menurutnya, jika tiada sokongan dari Sabah dan Sarawak, kerajaan BN "tidak akan mampu" ditubuhkan dan oleh itu kerajaan perlu membantu penduduk di negara itu secepat mungkin.

Beliau mempersoalkan jawatan menteri yang diberikan kepada MP di Sabah seramai tiga orang yang hanya membuat sesuatu yang dirasakannya tidak "begitu penting" seperti menjaga muzium atau menjaga awan yang disifatkan sebagai memalukan rakyat Sabah. Ada negeri yang dapat tujuh menteri yang penting. Katanya, sudahlah rakyat Sabah ketinggalan dan kini dianaktirikan atau menjadi second class citizen atau warganegara kelas kedua.

Datuk Ghafur berkata apa yang disuarakan janganlah disalahertikan sebagai pembangkang kerana ini yang dilakukan oleh MP dari Sabah sejak daripada dulu lagi.

Antara masalah rakyat Sabah ialah masalah air yang mana penduduk masih menggunakan air perigi, air paip yang berwarna dan juga masalah bekalan elektrik yang sering terputus termasuk di bandar. Ini mungkin dianggap "enteng" atau "can be taken for granted" tetapi bagi pemimpin Sabah ia teramat penting demi kepentingan BN.

Oleh itu, kerajaan perlu memperbaiki dan menyelesaikan masalah ini kerana jika tidak dibuat kerajaan termasuk dirinya akan kalah juga. Baginya, alasan yang diberikan sekarang tidak masuk akal dan perlu beri perhatian segera.

Beliau secara berseloroh berkata rakyat Sabah mahu "keadilan" bukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memastikan BN tetap memerintah pada akan datang. MP Kalabakan berkata MP Sabah tidak mahu masuk pembangkang tetapi kerajan perlu menganggap serius apa yang dikemukakan.

Pemerhati politik merasakan Datuk Ghafur tidak seharusnya merasakan satu kehinaan dengan tiga jawatan Menteri yang ditawarkan kepada MP dari Sabah. Ini kerana setiap Menteri mempunyai tugas dan tanggungjawab penting untuk membantu memajukan negara. Tidak kira apa portfolio sekalipun, perlantikan Menteri itu adalah satu penghormatan kepada sesiapa saja tidak kira dari Sabah, Sarawak atau Semenanjung.

Bagaimanapun, mereka bersetuju kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk mengatasi semua masalah yang dihadapi oleh rakyat Sabah. Menurut mereka, kerajaan sudah pasti berusaha membangunkan Sabah dan Sarawak tetapi perlu dipercepatkan lagi bagi memaparkan sikap prihatin kerajaan terhadap mereka.

No comments: