Tuesday, May 6, 2008

AMALAN TERBUKA KERAJAAN

Oleh Tulip Desa
(http://www.tulipdesa.blogspot.com)

Nampaknya, Menteri Penerangan, Dato'Ahmad Shabery Cheek menjawab soalan yang dikemukakan oleh Dato' Seri Dr. Fong Chan Onn (Alor Gajah) dengan hujah-hujah yang bernas sekali.

Tulip setuju dengan hujjah Dato' Shabery bahawa blog adalah media alternatif dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat memandangkan golongan muda dan pertengahan lebih menjurus kepada blog dalam mendapatkan maklumat.

Langkah berani Dato' Shabery harus dipuji apabila memperkenalkan beberapa rancangan baru seperti Rancangan Bersama Media dan Rancangan Blog. Beberapa pembaharuan yang dilaksanakan, menggambarkan Kementerian Penerangan menyahut cabaran rakyat khususnya pembangkang dalam mengamalkan media terbuka dan kebebasan media. Pembaharuan ini juga di sokong oleh Ahli Parlimen Ledang apabila beliau bangun dan mengucapkan tahniah kepada Dato' Ahmad Shabery Cheek.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Menteri Penerangan, rancangan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton. Rancangan Bersama Media meraih rating yang tinggi iaitu sebanyak 340 ribu dan Rancangan Blog mencatat jumlah pengunjung seramai 200 ribu. Jelas menunjukkan rakyat menerima pembaharuan dan peranan Kementerian Penerangan sebagai agensi yang menjelaskan dasar-dasar Kerajaan.

Ini juga sekaligus dapat menangkis persepsi dan dakwaan sesetengah pihak bahawa Kementerian Penerangan sebagai agen propaganda Kerajaan. Dianggarkan sebanyak 500 ribu blogger di Malaysia dan langkah KemPen menampilkan Blogger yang kritikal kepada Kerajaan dalam Rancangan Blog menunjukkan kewujudan blogger tidak sia-sia dan relevan sebagai wadah mendapatkan maklumat. Dengan pelaksanaan rancangan ini, diharap ia merupakan medan sebenar bagi blogger menjelaskan pandangan dan pendiriannya mengenai sesuatu isu.

Walaupun beberapa pendapat dan pandangan blogger tidak beberapa sesuai dengan konteks rakyat di mana lebih kepada khabar-khabar angin dan maklumat tidak sahih, tetapi bagi Tulip terpulang pada individu untuk menilainya. Rakyat sekarang lebih cerdik dalam menilai sesuatu maklumat, kerana kebanyakan mereka tergolong dalam golongan intelektual.

Dan pada blogger, perlu ada pertimbangan pada diri mereka dalam menyampaikan maklumat, kerana sebarang maklumat yang tidak sahih akan mempengaruhi minda rakyat untuk tidak mempercayai dan mengurangkan sokongan rakyat kepada Kerajaan. Bagaimanapun, Tulip ingin mengucapkan syabas kepada Menteri Kementerian Penerangan kerana dapat mengubah persepsi rakyat bahawa KemPen tidak membantaskan blogger dan media dalam melontarkan idea serta telus dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

No comments: