Wednesday, May 6, 2009

JANGAN LENA DIULIT MIMPI, MENANG SORAK KAMPUNG TERGADAI....

Oleh : Melur

Sultan Perak tidak pernah memecat Nizar daripada jawatannya sebagai MB tetapi beliau tersingkir daripada jawatan tersebut berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Peguam Negara, Tan Sri Abd. Gani Patail memberitahu Mahkamah Tinggi semalam, Penyingkiran Nizar adalah mengikut perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak apabila beliau kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Sultan Perak sebenarnya telah mematuhi Perlembagaan Perak dan telah menimbang semua bukti dan fakta sebelum mengisytiharkan BN mempunyai majoriti dalam DUN Perak. Sultan Perak juga telah memanggil 3 ADUN iaitu Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd. Osman Mohd. Jailu dan Hee Yit Foong bagi memastikan pendirian mereka.

Sultan Perak tidak pernah memecat MB tetapi MB perlu meletak jawatan apabila tidak lagi mendapat kepercayaan ADUN. Tetapi jika MB tidak juga mahu meletak jawatan selepas diarahkan tetapi sanggup pula untuk sembah derhaka terhadap Sultan, maka wajarlah sultan menggunakan kuasa untuk memecat MB. Usahkan sultan, kita sebagai ibu bapa jika anak-anak sedikit kurang ajar akan menggunakan kuasa untuk mendidik mereka…

Selepas peristiwa sumpah derhaka, pakatan pembangkang mendesak pula mahukan DUN perak dibubarkan bagi membolehkan pilihanraya semula diadakan. Janganlah lena diulit mimpi lagi. Seharusnya mereka sedar bahawa tuntutan mereka itu adalah tidak berasas kerana mereka tidak lagi mewakili majoriti di dalam dewan. Pilihanraya semula hanya boleh dipohon oleh MB yang mempunyai kerusi majoriti. Dalam situasi sekarang, sudah pastilah hanya Dr. Zambry yang boleh memohon pembubaran dewan kepada Sultan Perak. Ini kerana Nizar tidak lagi mempunyai kuasa untuk memohon perkenan Sultan Perak untuk membubarkan DUN…

Sidang DUN Perak yang akan berlangsung dari 7 – 13 Mei 2009 pasti menjadi perhatian masyarakat Malaysia khususnya rakyat negeri Perak. Pelbagai usaha yang dilakukan oleh pembangkang bagi melengahkan sidang DUN Perak. Dan yang terkini apabila Speaker, V. Sivakumar memohon kepada Sultan Perak supaya sidang DUN Perak ditangguhkan kerana kedudukan Dr. Zambry selaku MB Perak masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Selain itu Sivakumar juga beralasan akan berlaku perbalahan @ pertelingkahan antara 2 pihak bagi mempertahankan pendirian masing-masing… secara tak langsung, Ini bermakna Sivakumar memperakui kuasa Sultan dalam memanggil dan mengisytiharkan persidangan Dewan.

Sedarlah Sivakumar, Kuasa Speaker di Perak memang muktamad tapi ianya hanya terhad kepada memastikan peraturan dan perjalanan dewan dipatuhi dan berjalan dengan baik. Speaker bukan ada kuasa untuk menentukan kerusi ADUN kosong atau memecat pekerja dewan yang tertakluk di bawah peraturan kakitangan awam atau penentu tarikh dewan bersidang.

Apapun pembangkang seharusnya sedar bahawa Sidang DUN yang akan bermula esok (7 April 2009) telah mendapat perkenan Paduka Sultan Perak…

Dan sebenarnya motif utama pembangkang meminta sidang DUN ditangguhkan adalah kerana jika mereka berjaya melengahkan persidangan yang sepatutnya diadakan dalam tempoh 6 bulan sejak November tahun lalu, bermakna mereka boleh membubarkan DUN dan seterusnya membolehlah pilihanraya semula diadakan….itulah kelicikan mereka….

Sebagai ingatan kepada kita semua….Negara kita adalah negara berdaulat. Jangan menghina Sultan dan institusi raja-raja Melayu dengan menafikan hak mereka untuk memutuskan pentadbiran yang sesuai di negeri masing-masing. Jangan membawa budaya politik melampau dari negara jiran ke tanahair kerana ia hanya membawa kehancuran yang sebenarnya kepada negara kita. Begitulah juga dengan ketenteraman serta kesejahteraan yang kita nikmati selama ini. JANGAN MENANG SORAK TAPI KAMPUNG TERGADAI….

No comments: