KUALA LUMPUR: Tiada ruang buat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng untuk kembali ke negara ini kerana dosa dilakukannya terhadap pembunuhan beribu-ribu rakyat negara ini tidak boleh dimaafkan.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pemimpin yang melahirkan perasaan simpati terhadap Chin Peng perlu mengemukakan pendirian secara jelas tanpa berselindung di sebalik tabir politik kepartian.
“Chin Peng dan komunis yang membunuh rakyat negara ini dan tidak ada tempat bagi kita untuk bermuafakat atau bersimpati kepadanya.
Komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini. Kita tidak boleh mendewakan komunis, ribuan yang sudah mati di tangan komunis. Usah mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan pemikiran rakyat,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan kementeriannya di sini, semalam.
Dr Rais berkata, beliau akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha memantau dan mengawal perkembangan laman blog yang menyokong komunis serta cuba menanam semangat komunisme di kalangan masyarakat di negara ini.
Katanya, beliau akan mengemukakan kepada Kabinet mengenai kemunculan beberapa laman blog dilihat memberi pujian atau melahirkan nostalgia kepada komunis dan maklumat diperoleh mengenai perkara itu akan disalurkan kepada KDN.
“Mengenai kemunculan blog dilihat menyokong komunis, kami akan cari jalan untuk menanganinya, langkah tak perlu cakap, semuanya sudah diatur dan kesannya nanti saya percaya akan memberi pandangan yang membina supaya komunisme tidak menjadi kegilaan atau diminati mana-mana generasi.
“Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bukan di bawah bidang tugas saya, tetapi saya sudah minta beliau siap siaga melihat kecenderungan ini,” katanya.
Mengulas mengenai gagasan 1Malaysia yang diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sering disalah tafsir pihak tertentu terutama pembangkang, beliau akan menggerakkan semua agensi di bawah kementeriannya untuk memberi penerangan.
SUMBER : BERITA HARIAN, 26 MEI 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment