SELARAS dengan konsep 1Malaysia yang mempromosikan perpaduan dan semangat kekitaan di kalangan rakyat Malaysia melalui prinsip hormat menghormati dan kepercayaan di antara satu sama lain, pelajar dan belia daripada pelbagai kaum perlu menghapuskan polarisasi kaum.
Sebaliknya mereka harus berusaha untuk mengenali antara satu sama lain dan menjalinkan persahabatan dengan mereka yang berlainan kumpulan etnik.
Kesedaran dan usaha berterusan harus dilakukan kerajaan termasuk pembaharuan sistem pendidikan, bagi membantu generasi pemimpin negara yang akan datang untuk mencapai objektif penting iaitu membina perpaduan dalam kepelbagaian.
Belia dan remaja sepatutnya tidak menganggap bahawa seseorang yang sedang duduk di sebelah mereka adalah berlainan bangsa dan agama. Sebaliknya, mereka harus menyedari bahawa yang duduk di sebelah mereka adalah seorang rakan.
Warga belia daripada pelbagai bangsa harus berusaha memperkukuhkan lagi integrasi kaum yang menjadi tunggak perpaduan negara. Dalam semua jenis acara, sama ada dalam sukan mahupun aktiviti kokurikulum, usaha yang praktikal harus diambil bagi menyatupadukan belia negara supaya mereka dapat berinteraksi di antara satu sama lain.
Sekolah adalah tempat terbaik untuk mempromosikan integrasi kaum. Guru dan ibu bapa harus memainkan peranan masing-masing dalam membantu proses itu. Ibu bapa harus menggalakkan anak mereka untuk bergaul dengan mereka yang berlainan kaum bagi mewujudkan lebih persefahaman di antara agama, budaya dan cara hidup.
Usaha berterusan juga harus di ambil bagi menghapuskan polarisasi kaum, terutama di kalangan pelajar yang berlainan kaum.
Pelajar pada hari ini adalah pemimpin pada masa akan datang. Di bahu mereka terletaknya tanggungjawab dalam membina negara yang bersatu-padu dengan satu matlamat yang dikongsi bersama.
Usaha untuk menyemai nilai-nilai murni dan objektif mulia berkaitan dengan perpaduan ini harus dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi supaya kita dapat menghasilkan generasi akan datang yang sedar mengenai tanggungjawab mereka terhadap pembinaan negara.
Kita harus mengambil semua langkah berpatutan bagi memastikan sistem pendidikan pada peringkat pra universiti tidak menyumbang ke arah polarisasi yang tidak sihat di kampus universiti kita.
Sekolah, kolej dan institusi pendidikan swasta perlu mengambil usaha bagi mencegah polarisasi kaum pada peringkat institusi masing-masing.
Kita perlu kembali ke pengetahuan asas iaitu mematuhi Rukun Negara dan lima prinsipnya Kepercayaan Kepada Tuhan, kKesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan yang menjadi cahaya pedoman untuk membina Malaysia yang bersatu-padu.
Perpaduan dan keharmonian kaum harus menjadi sebahagian daripada budaya kita serta dapat mewujudkan lebih banyak peluang kepada orang ramai dari pelbagai kaum untuk berjumpa dan menjalinkan persahabatan yang lebih akrab demi masa depan negara.
TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA, 27 MEI 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment