Monday, May 4, 2009

KAEDAH KREATIF TARIK SOKONGAN- AHMAD MASLAN

MUKADIMAH

Dari Benut, Pontian ke Putrajaya, mungkin itulah gambaran yang boleh diberikan dalam menilai kejayaan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan yang bukan sahaja dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, malah turut diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Ketua Penerangan UMNO.

Beliau yang menyambut ulang tahun kelahiran Ke-43 pada Khamis lalu, amat memahami tanggungjawab berat yang dipikulnya dan pelantikan beliau dilihat sebagai salah satu usaha bagi menarik generasi muda menyokong UMNO.

Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, HATTA WAHARI di Putrajaya, anak kepada penoreh getah ini memaparkan visi dan misinya dalam memastikan segala amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Untuk mencapai misi itu, Ahmad menggariskan apa yang dipanggil GST iaitu dari gelap kepada samar dari samar menjadi terang. Selain itu beliau juga memberi pandangan mengenai pelantikannya yang ditegaskan oleh beliau, sama sekali bukan melalui lobi melobi.

Apa pun bagi Ahmad sehebat mana pun cabarannya, apa yang penting selagi sesuatu itu dilakukan demi kebaikan agama, bangsa dan tanah air maka beliau akan melaksanakannya.

MINGGUAN: Apa perasaan YB dilantik menjadi Timbalan Menteri dan juga Ketua Penerangan UMNO?

AHMAD: Walaupun saya pernah bertugas secara rasmi di bawah Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Pengarah Seranta Felda di Jabatan Perdana Menteri pada Mac 2005 hingga Mac 2008 tetapi dalam susunan Kabinet baru ini saya tidak pernah berkata walaupun sepatah untuk melobi mendapatkan jawatan, begitu juga bagi jawatan dalam UMNO. Dan saya kira apa yang diberikan itu adalah satu amanah yang cukup saya syukuri dan menerima dengan tawaduk atas ingatan bahawa tugas saya adalah besar untuk agama, bangsa dan tanah air.

Saya menganggap diri saya adalah anak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dapat belajar di sekolah berasrama penuh, belajar di luar negara dengan biasiswa kerajaan dan juga dapat bertugas di pelbagai tempat berikutan dasar-dasar dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam pelantikan sebagai Ketua Penerangan, saya bersyukur kerana ini adalah arahan pucuk pimpinan parti dan saya merasakan pelantikan itu merupakan satu jambatan bagi generasi baru dalam UMNO. Saya baru berusia 43 tahun dan tentunya dalam usia ini saya boleh bertemu dengan generasi yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an di mana UMNO kehilangan sokongan tetapi pada masa yang sama saya boleh berjumpa dengan orang lama untuk mendapatkan pandangan serta khidmat mereka.

Saya melihat Presiden UMNO percaya saya boleh membantu beliau menerangkan aspirasinya yang cukup saya fahami. Kita akan berusaha memberikan penjelasan dan penerangan melalui istilah GST dari gelap kepada samar, dari samar kepada terang. Kita akan menggunakan media bersemuka, media elektrik, media cetak dan media maya untuk mendekati kumpulan sasar seluruh rakyat Malaysia kerana UMNO ini bukan hanya perjuangan untuk orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia.

YB dilantik ke jawatan Ketua Penerangan ketika UMNO berada dalam keadaan politik yang dianggap sukar dan mencabar, apakah YB hendak lakukan?

AHMAD: UMNO sudah mempunyai jentera penerangan di setiap negeri, bahagian dan cawangan malahan setiap sayap UMNO mempunyai jentera penerangan, apa yang perlu dilakukan hanya mengaktifkannya sahaja.

Ertinya, semua jentera sudah berada di setiap sudut, cuma mencari formula terbaik untuk digerakkan dan dipilih orang-orang yang sesuai termasuk dari kalangan wakil pertubuhan bukan kerajaan, akademik, swasta dan generasi baru bagi membolehkan mereka menarik sokongan daripada setiap kumpulan masyarakat.

Kita perlu pastikan UMNO tidak terus terpisah dari setiap kumpulan masyarakat kerana UMNO berjuang untuk agama, bangsa dan negara serta parti ini jugalah tonggak Barisan Nasional (BN) dan kerajaan yang telah banyak berjasa. Jasa UMNO cukup besar dan ia perlu disedari oleh semua peringkat generasi terutama generasi baru yang terpisah dengan perjuangan parti ini yang akhirnya tertarik dengan media maya dan pembangkang.

Berbanding sebelum ini, YB tidak begitu dikenali sejauh manakah YB yakin terhadap penerimaan ahli-ahli UMNO terutamanya ketua bahagian?

AHMAD: Majoriti ketua UMNO bahagian mengenali saya, cuma saya kurang dikenali oleh ramai lagi ahli parti tetapi saya berharap dapat diterima melalui pelbagai usaha yang bakal dilaksanakan dan salah satunya ialah turun padang, sesuatu yang saya suka lakukan sejak menjadi Setiausaha Sulit Kanan kepada Datuk Mustapa Mohamed dan Pengarah Seranta Felda. Saya akan melawat seberapa banyak bahagian UMNO dan kalau mereka tidak menjemput, saya sendiri akan mengaturkan program dan berharap secepat mungkin akan dapat melawat 191 bahagian UMNO di seluruh negara.

Sumber : Utusan Malaysia, 3 May 2009

No comments: