Monday, May 11, 2009

PONDOK PANAS DIHARAMKAN ADALAH LANGKAH BIJAK SPR.

Oleh: Pemikir - MM

Di dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau pihak keselamatan kerap menghadapi masalah dan tekanan terutamanya di pondok-pondok panas berhampiran tempat mengundi. Di sekitar kawasan pondok itu, terdapat kumpulan-kumpulan wakil parti, baik PAS, UMNO, Bebas, masih berkempen dengan bisingnya hingga mengganggu dan menakut-nakutkan pengundi.
Dalam pilihan raya parlimen Indonesia yang baru sahaja selesai, pihak pilihan raya umum Indonesia tidak membenarkan pondok panas berada di tempat mengundi. Malahan Jakarta telah membuat arahan satu minggu sebelum pengundian, semua program kempen dihentikan. Semua poster dan banting-banting diturunkan. Jadi apabila pengundian berjalan pada hari yang ditetapkan, keadaan sangatlah terkawal dan menjadi aman. Hari mengundi juga dijadikan cuti am oleh majikan-majikan seluruh Indonesia. Bayangkan 200 ribu orang berkerumun di satu-satu pondok panas tempat mengundi di Jakarta? Anda akan melihat huru-hara dan ini boleh membahayakan nyawa pengundi-pengundi ketika itu.
Keputusan SPR Malaysia untuk tidak membenarkan pondok-pondok panas wujud di tempat mengundi terutamanya di Penanti nanti, adalah satu langkah bijak. Tindakan SPR ini sangat dialu-alukan dan dengan cara ini pengundi-pengundi akan dapat mengundi dengan tenang tanpa gangguan yang kadang-kadang fizikal.
Pemerhati pilihan raya berpendapat bahawa sudah sampai masanya SPR lebih tegas dan cuba mengambil model Indonesia dalam isu pondok panas ini. Sekiranya perkara ini tidak dilakukan sekarang dikhuatiri budaya ganas nanti menjelang hari mengundi akan menjadi tidak boleh dikawal.

No comments: