Monday, May 4, 2009

Bank idea rakyat....syor TS Mahyuddin di Pagoh

KUALA LUMPUR 3 Mei - Satu mekanisme yang mantap, teratur dan fleksibel perlu diperkenalkan oleh kerajaan jika mahu memastikan konsep 'bank idea rakyat' dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, mekanisme tersebut boleh diwujudkan menerusi satu kumpulan atau jawatankuasa yang dapat melaksanakan tugas untuk memastikan idea yang disalurkan dan diterima dapat diterjemahkan dengan tepat.

Menurutnya, kumpulan yang diwujudkan juga perlu cekap menggunakan segala intipati yang disampaikan supaya ia tidak hanya memberi faedah kepada segelintir pihak sahaja.

''Pasukan yang dipilih tidak boleh hanya menunggu idea diberikan kepada mereka, tetapi perlu proaktif untuk mencari dan mendapatkan idea yang bernas serta boleh diguna pakai.

''Mereka perlu sentiasa bergerak untuk mengutip, mengumpul idea daripada pelbagai pihak dan memastikan idea yang bernas untuk dikemukakan kepada kerajaan untuk dilihat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, konsep 'bank idea rakyat' perlu diperkenalkan bagi mengumpulkan cadangan dan pandangan rakyat untuk memastikan setiap pembangunan dilaksanakan secara berkesan dan memenuhi cita rasa akar umbi.

Muhyiddin berkata, ia sejajar dengan gagasan 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang diterapkan di seluruh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Subahan Kamal pula berpendapat, kerajaan perlu membentuk sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai oleh individu yang tidak mempunyai kepentingan politik mahu pun peribadi bagi memastikan konsep 'bank idea rakyat' dapat dilaksanakan dengan baik.

''Kalau boleh individu yang menyertai jawatankuasa berkenaan biarlah terdiri di kalangan wajah baru dan generasi muda yang mampu berperanan membantu kerajaan menapis idea-idea rakyat ini,'' ujarnya.

Beliau berkata, konsep tersebut juga memberi peluang kepada kerajaan untuk menunaikan kemahuan rakyat selama ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian pula berkata, konsep 'bank idea rakyat' yang dinyatakan oleh Muhyiddin perlu berorientasikan kepada keperluan rakyat.

Menurutnya, ia merupakan satu konsep yang baik, tetapi ia perlu dilaksanakan dengan berkesan supaya idea yang disampaikan dapat dinilai serta digunakan untuk kepentingan negara dan juga rakyat.

''Apa yang penting di sini ialah pelaksanaannya perlulah memenuhi keperluan majoriti dan bukannya golongan minoriti yang kebanyakan melontarkan idea untuk kepentingan diri sendiri," jelasnya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain pula berkata, kerajaan perlu agresif dan kalau boleh dapatkan kerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendekati akar umbi sekiranya ingin melaksanakan cadangan itu.

''Bagi saya untuk mengumpulkan idea tidak susah, cuma yang kita kena fikirkan ialah kesesuaian idea itu selain kerajaan perlu ada pasukan untuk mengumpulkan idea berkenaan,'' katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman pula memiliki pandangan berbeza kerana baginya sudah banyak idea yang disampaikan oleh rakyat, tetapi kurang diberi perhatian.

''Saya bukan tidak bersetuju dengan konsep 'bank idea rakyat' ini, tetapi kerajaan perlu mengkaji terlebih dahulu pelaksanaannya supaya idea yang disuarakan rakyat dapat dilihat dan dinilai terlebih dahulu bukannya dicampakkan begitu sahaja," ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia, 4 Mei 2009

No comments: