Monday, November 3, 2008

Pertahan matrikulasi langkah bijak

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Keputusan kerajaan untuk tidak memansuhkan program matrikulasi merupakan satu langkah bijak dalam memastikan modal insan negara dapat diseimbangi secara berterusan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah berkata, kebaikan daripada keputusan itu juga bersifat menyeluruh iaitu meliputi kecemerlangan akademik dan sosial di kalangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera.

Menurutnya, ia selaras dengan kehendak kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan apabila tiada halangan untuk mereka mengembangkan lagi kegiatan kemasyarakatan di kolej matrikulasi.

''Saya sokong keputusan kerajaan kerana banyak manfaat yang diperoleh daripada tindakan tersebut terutama bilangan pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) menunjukkan peningkatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam yang mengumumkan kerajaan tidak berhasrat untuk memansuhkan program matrikulasi kerana berjaya mengimbangi bilangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPT.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohammad berkata, berita itu amat menggembirakan semua pihak kerana keprihatinan kerajaan dalam memastikan lebih ramai golongan berpendidikan di negara ini.
Katanya, ini terutama dalam memastikan bilangan kolej matrikulasi bertambah dan penambahbaikan infrastruktur bagi memastikan pelajar mendapat keselesaan semasa proses pembelajaran.

''Kita sangat gembira dengan keputusan kerajaan ini terutama mengenai pembinaan tiga lagi kolej matrikulasi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)," ujarnya.
Pendapat itu turut disokong oleh Koordinator Gerakan Mahasiswa Mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Zulzaidi Mahmood yang menyifatkan kerajaan sentiasa menambah baik program matrikulasi agar setanding luar negara.

Beliau berkata, program yang sudah dilaksanakan lebih 30 tahun itu hampir tiada bezanya dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kerana ia diurus secara profesional dan ditadbir oleh kerajaan.

''Kita juga berharap pelajar lepasan kolej matrikulasi yang memasuki IPT dapat memberi sumbangan kepada negara sebagai membalas jasa kerajaan," ujarnya.


Sumber: Utusan Malaysia (3 November 2008)



*************************************************


Citra Adora:

Program matrikulasi wajar dipertahankan kerana ia berjaya mengimbangi bilangan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPT. Tindakan bijak kerajaan ini berupaya meningkatkan lagi jumlah rakyat yang berpendidikan di negara kita. Rakyat dapat menimba ilmu pengetahuan dengan sama rata, setinggi yang boleh. Lulusan matrikulasi ini mampu bersaing dan beroleh kejayaan yang cemerlang setelah menyambung pendidikan di IPTA.

Oleh yang demikian matlamat kerajaan untuk melahirkan modal insan negara dapat dilaksanakan secara berterusan.


2 comments:

Tapak Sulaiman said...

selamat petang wira....

ia merupakan satu langkah yang baik...kerana matapelajaran yang dipelajari semasa di peringkat matrikulasi adalah sama dengan level tingkatan 6. dengan masa yang singkat dan matapelajaran tertentu sahaja...pelajar boleh menumpukan perhatian dengan lebih baik. Ini saya coretkan berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri. Matrikulasi harus dipertahankan....

rayliew said...

Satu tindakan yang bernas. Masa depan golongan belia lebih cerah dan terjamin.