KUALA LUMPUR 6 Nov. - Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM100 juta kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk melatih 100,000 tenaga mahir tempatan dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.
Menterinya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, mereka akan dilatih selama setahun di enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) di seluruh negara.
"Kita mempunyai enam ABM iaitu di Sungai Petani, Terengganu, Wilayah Tengah, Johor, Sabah dan Sarawak.
"Ketika ini kita mempunyai 320,000 orang tenaga buruh asing yang perlu dikurangkan melalui peningkatan modal insan khususnya anak muda kita sendiri yang memerlukan latihan teknikal dan vokasional," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan pertandingan Kemahiran ASEAN ke-7 yang akan diadakan di sini, dari 14 hingga 16 November ini. Seramai 197 peserta akan mengambil bahagian dalam 19 bidang kemahiran yang dipertandingkan.
Katanya, langkah awal untuk menimbulkan minat terhadap industri pembinaan perlu dilakukan apabila 10,000 kanak-kanak sekolah dibawa dan didedahkan tentang pertandingan kemahiran yang akan diadakan pada minggu hadapan.
Beliau menambah, perkara yang mempunyai hubung kait dengan kemahiran teknikal dan vokasional sebenarnya memberi kekuatan kepada ekonomi negara.
Sumber: Utusan Malaysia (7 Nov. 2008)
1 comment:
Pembanguan modal insan merupakan satu agenda pembangunan negara pada masa akan datang khususnya untuk mencapai wawasan 2020..tanpa tenaga mahir yang cukup, sudah tentu semuanya tidak dapat dicapai. oleh itu langkah yang dimabil oleh agensi kerajaan amatlah bermakna dan memanfaatkan, kita hendaklah pastikan generasi muda dilengkapkan dengan kemahiran yang mencukupi untuk menghadapi cabaran masa depan yang semakin mencabar..
Post a Comment