AKHIR-AKHIR ini, isu kontrak sosial kerap kali ditimbulkan oleh pelbagai pihak dengan pelbagai pandangan. Yang jelas terdapat dua pandangan yang bertentangan dengan hujah masing-masing. Daripada senario ini, hal ini mungkin terus menjadi polemik yang tidak berkesudahan walaupun negara kita telah wujud lebih daripada lima dekad.
Bukankah zaman ini zaman pembangunan, pengukuhan, dan penerusan harapan rakyat dan negara sebagai mana yang tercakup dalam persetujuan yang dianggap sebagai "kontrak sosial" pelbagai kaum dalam penubuhan negara Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia?
Untuk mencapai kemerdekaan dan pembentukan negara Persekutuan Tanah Melayu kaum Melayu, Cina dan India telah berbincang dan berunding untuk mencapai persetujuan dalam pembentukan negara Persekutuan Tanah Melayu.
Banyak pengorbanan dibuat oleh kaumkaum utama dan dengan pandangan yang jauh dan bijaksana para pemimpin kaum Melayu, Cina, dan India mencapai persetujuan dalam satu "kontrak sosial". Kemudian, mauduk "kontrak sosial" ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya diubah suai untuk penubuhan negara Malaysia.
Oleh itu, sejak 1957 dan 1963 Perlembagaan Persekutuan telah menjadi asas dan pegangan hingga negara bertuah ini berkembang maju. Kemajuan dicapai dalam pelbagai aspek - ekonomi, pendidikan, politik, perhubungan antara kaum dan sebagainya.
Rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman, selesa, agak makmur, dan hormat-menghormati antara satu dengan lain. Itulah hasil yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit daripada "kontrak sosial" yang keramat itu. Kebelakangan ini, timbul ura-ura untuk memasukkan "kontrak sosial" itu dalam kurikulum pendidikan.
Ura-ura ini memang bagus dan patut dilaksanakan. Namun begitu, judul "kontrak sosial" kurang sesuai kerana kontrak ialah sesuatu yang boleh diubah, dipinda, atau mungkin "diperlekehkan".
Teras
Sebenarnya, "kontrak sosial" yang telah dipersetujui dan diguna pakai oleh negara bukan lagi satu kontrak tetapi merupakan teras kenegaraan Malaysia. Teras inilah yang mewujudkan negara kita, mengasaskan pembangunan negara, memadukan perhubungan antara kaum, memberi keselesaan untuk kita tinggal, berjalan-jalan, berekreasi dan lain, dan panduan dalam pemerintahan negara.
Jika kita ambil Amerika Syarikat sebagai contoh, satu daripada teras kenegaraannya ialah "individual right" dan pemilikan senjata api ialah satu daripada hak dalam "individual right". Walaupun banyak keburukan berlaku akibat pemilikan senjata api, teras ini tidak diubah dengan "mengharamkan pemilikan senjata api".
Mungkin peraturan atau undang-undang digubal untuk mengawalnya tetapi teras itu tetap tidak dicemuh atau "diperlekehkan". Setiap rakyatnya akur dan jika ada yang benar-benar tidak serasi atau amat bertentangan dengan jiwanya maka individu itu perlulah membawa diri ke tempat yang lebih sesuai.Oleh itu, saya mencadangkan istilah "Teras Kenegaraan Malaysia" digunakan sebagai tajuk dalam kurikulum yang hendak diperkenalkan supaya ia dipelajari, diketahui, dan diamalkan oleh setiap warganegara Malaysia di samping menghormati dan menghargainya."Kontrak sosial" hanyalah cara, proses, dan kaedah dalam mencapai kebijaksanaan untuk negara tercinta ini.
AZBAR
Sungai Pelek
Selangor
Selangor
Sumber: Utusan Malaysia, 3 November 2008
1 comment:
tidak kira iany kontrak atau teras, segala persetujuan yang dicapai sejak 5 dekad yang lalu hendaklah dikekalkan dan disemai dalam pemikiran rakyat supaya terbawa dengan fitnah pihak yang tidak bertanggunjawab.
Post a Comment