Wednesday, November 26, 2008

Mahasiswa Lelaki Semakin Pupus?

Oleh: Citra Adora

MP Rembau pada hari ini di Dewan Rakyat mengulangi soalan berkisar ketidakseimbangan jumlah mahasiswa (pelajar lelaki) berbanding mahasiswi (pelajar perempuan) di IPTA. Soalan beliau diperjelaskan oleh MP Tangga Batu (Tim. Menteri Pengajian Tinggi).

MP Tangga Batu memaklumkan bahawa statistik mahasiswa lelaki dan perempuan di IPTA adalah kompetitif. Ini adalah kerana laluan bagi memasuki IPTA adalah terhad bagi menampung permintaan yang semakin meningkat. Bilangan mahasiswi adalah sebanyak 61% manakala pelajar lelaki hanya sebanyak 39%. Jurang ini adalah disebabkan pelajar perempuan lebih menunjukkan kecemerlangan ketika di sekolah menengah. Justeru itu, bilangan pelajar perempuan mengatasi bilangan pelajar lelaki di IPTA dalam kursus pengajian ijazah sarjana muda.

Walau bagaimanapun bagi kursus pengajian PHD, pelajar lelaki lebih mendominasi IPTA. Begitu juga di Politeknik dan di kolej-kolej komuniti. Pelajar lelaki lebih mendapat tempat kerana mereka lebih berminat dalam bidang-bidang kemahiran dan amali.

MP Tangga Batu turut menegaskan bahawa bilangan pelajar perempuan yang ramai di IPTA bagaimanapun tidak akan menjejaskan peluang pelajar lelaki untuk menceburi kerjaya di peringkat profesional.

Pada saya, topik berkaitan gender ini memang menarik untuk diperdebatkan kerana ia secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa kaum wanita di Malaysia semakin maju dan berdaya saing. Ramai wanita yang telah berjaya dan mengecap kejayaan lebih daripada kaum lelaki. Tidak dinafikan golongan perempuan memang sejak dari zaman dahulu lagi memiliki otak yang pintar namun disebabkan oleh beberapa kekangan dan faktor keluarga, mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi pada masa itu.

Apapun senario bilangan pelajar perempuan melebihi lelaki di pusat pengajian tinggi merupakan fenomena global dan biasa kerana kajian jumlah penduduk dunia menunjukkan bilangan wanita adalah lebih ramai daripada lelaki.

1 comment:

rayliew said...

Senario tersebut berlaku di kebanyakan negara di seluruh dunia dan sudah jadi kebiasaan. Nyata golongan perempuan memiliki otak yang pintar berbanding dengan golongan lelaki, walaubagaimanapun setelah mereka keluar dari sekolah, kebanyakannya tidak melanjutkan pembelajaran lagi dan lebih kepada menjaga anak-anak mereka setelah berumahtangga. Ada juga yang tidak mahu menunjukkan kepintaran mereka ini dan hanya digunakan untuk menjalankan perniagaan keturunan keluarga sahaja. Dalam masyarakat Melayu, ramai golongan wanita yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam yang mendatangkan gaji yang tetap dan lumayan.