USUL memotong gaji Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebanyak RM10 yang dikemukakan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) ditolak dalam persidangan Dewan Rakyat semalam. Teo dalam usulnya meminta gaji Menteri Pelajaran dipotong kerana didakwa gagal memenuhi janji kementeriannya membina enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan keputusan terhadap usul mengikut Peraturan Mesyuarat 66 (9) itu selepas sebahagian besar Ahli Parlimen mengundi secara bersuara menolak usul itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, ketika menggulung usul itu berhujah kerajaan memandang serius isu itu dan sedang menjalankan usaha berperingkat mengikut lunas undang-undang bagi membolehkan pelaksanaannya disegerakan. "Memang benar pada 30 Januari lalu, kita ada mengumumkan akan bina sekolah SJKC, antaranya di Bukit Serdang, Serdang, Sungai Long, Kajang serta Emerald, Rawang. "Pada peringkat ini kita sedang mengambil tindakan susulan selepas perkara itu mendapat sokongan dan komitmen penuh kerajaan kerana proses membina sebuah sekolah bukan senang kerana ia membabitkan soal tapak yang sesuai yang membabitkan urusan pengambilan tanah," katanya.
Sementara itu, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) sekali lagi menimbulkan kekecohan apabila menggunakan perkataan 'keling' yang dituju kepada M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) apabila berlaku pertikaman lidah antara kedua-duanya. Berikutan itu, Mohamad Azmin Ali (PKR-Gombak) meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, mengarahkan Tajuddin menarik balik perkataan itu dan tindakan diambil terhadapnya. "Setiap kali berkelakuan begitu, beliau akan terlepas daripada tindakan. Untuk kali ini saya sekali lagi meminta Dewan tidak lagi melepaskannya daripada sebarang tindakan," kata Mohamad Azmin.
Dipetik dari berita harian online
1 comment:
Yang pentingnya kementerian berkenaan masih mengusahakannya, dan proses pembinaan adalah rumit kerana membabitkan pengambilan tanah sebagai tapak pembinaan dan juga kelulusan kerajaan negeri.. tindakan MP DAP tidak bernas kerana pemotongan gaji tidak bermakna sekolah tersebut dapat dibina terus!! carilah usaha untuk membantu mempercepatkan pembinaan sekolah berkenaan.. DAP selalunya NO ACTION, TALK ONLYYYY.
Post a Comment