KUALA LUMPUR: Dua persatuan pengusaha restoran yang mempunyai 4,500 ahli di seluruh negara bersetuju menurunkan harga roti canai dan teh tarik sebanyak 10 sen, manakala set hidangan nasi kandar dikurangkan 20 sen.
Setakat ini, 200 ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) di Lembah Klang sudah menurunkan harga makanan dan minuman itu mulai semalam.
Serentak itu, persatuan berkenaan melancarkan kempen menggalakkan ahlinya di seluruh negara menurunkan harga barangan makanan dan minuman itu.
Kempen itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad di Restoran Syed Bistro, Bangsar di sini, semalam. Presiden Presma, Jamarulkhan Kadir, berkata penurunan harga tiga menu itu dibuat bagi menyahut seruan kerajaan. “Ini tidak ada kaitan dengan penurunan harga minyak, sebaliknya lebih bersifat keprihatinan pengusaha,” katanya.
Timbalan Presiden Primas, T Muthusamy, pula berkata penurunan harga itu diharap dapat membantu mengurangkan beban orang ramai berikutan keadaan ekonomi tidak menentu.
Sumber: Berita Harian (11 Nov. 2008)
**************************************
Citra Adora:
Berita yang agak menggembirakan. Namun lebih banyak mendukacitakan kerana penurunan harga barang makanan ini tidaklah menyeluruh. Bukan semua restoran atau pengusaha-pengusaha yang bertindak seperti ini.
Seruan dan kempen kerajaan agar peniaga menurunkan harga barang dan perkhidmatan masih kurang mendapat sambutan daripada ramai peniaga meskipun harga minyak petrol dan diesel telah empat kali mengalami penurunan.
Dilihat para peniaga hanya cepat bertindak untuk menaikkan harga barang apabila harga minyak naik tetapi apabila keadaan bertukar sebaliknya mereka lebih suka mendiamkan diri. Keluh-kesah orang ramai perihal harga barang tidak diturunkan tidak mendapat respon positif daripada mereka.
Rata-rata menyatakan mereka tidak dapat menurunkan harga barang kerana stok-stok lama yang dibeli ketika harga minyak mahal masih ada dan ini akan merugikan perniagaan mereka. Jawapan yang sukar untuk diterima pakai kerana harga minyak telah banyak kali turun beberapa bulan kebelakangan ini tetapi mengapa pula harga barang sedikit pun tidak pernah turun walaupun sedikit amaunnya?
Para peniaga perlu mempunyai sifat keprihatinan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat Malaysia. Jangan terlalu mementingkan keuntungan dan kekayaan duniawi semata-mata.
No comments:
Post a Comment