Wednesday, November 26, 2008

Atasi Isu Pekerja Asing

KUALA LUMPUR 25 Nov. – Seorang Ahli Parlimen hari ini melahirkan rasa kecewa kerana kerajaan masih gagal menyelesaikan isu kebanjiran pekerja asing yang sudah bertahun-tahun membelenggu negara ini.
Malah dengan nada berang, Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut menempelak Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad kerana memberikan jawapan terlalu panjang dan berjela-jela berhubung isu itu.‘‘Jawapan panjang tetapi tidak sampai ke lubuk hati. Saya tak nak berlakon dalam perkara ini.‘‘Sebagai rakyat Malaysia, kita mahu satu penyelesaian dicari terhadap tanggapan bahawa negara ini adalah syurga bagi warganegara asing untuk mencari nafkah tetapi neraka bagi rakyat kita sendiri,” katanya semasa mencelah pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Mohamad, sudah bertahun-tahun kementerian itu memaklumkan akan menyelesaikan isu kehadiran ramai pekerja asing tetapi sehingga kini tiada tindakan konkrit dibuat.Beliau yang sudah 18 tahun menjadi wakil rakyat termasuk sembilan tahun sebagai Ahli Parlimen juga kesal kerana sehingga kini tiada sebarang langkah tegas diambil bagi memastikan pekerja rakyat tempatan mendapat gaji munasabah iaitu lebih tinggi berbanding golongan miskin tegar.
Tindakan Mohamad yang berkali-kali meninggikan suara kepada Noraini itu ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mahukan sikap sedemikian dihentikan.
Dalam pada itu, Noraini yang menjawab soalan asal Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) menjelaskan, pendapatan purata asas setiap pekerja di negara ini adalah berbeza mengikut sektor dan ia juga berdasarkan proses rundingan antara persatuan majikan dan kesatuan sekerja.Katanya, pendapatan purata asas adalah sebanyak RM573 sebulan bagi pekerja kedai kopi, RM628 sebulan (pertanian), RM697 sebulan (perhotelan), RM853 sebulan (pasar raya) dan RM952 sebulan (pembinaan).
Sementara itu, sesi soal jawab bertukar suasana kepada ceria apabila Datuk Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) yang bangun untuk mengemukakan soalan seterusnya, memaklumkan bahawa hari ini adalah tarikh lahirnya.
Sumber: Utusan Malaysia (26 Nov. 2008)
**************************************
Oleh: Citra Adora
Sewajarnya kadar gaji pekerja-pekerja rakyat tempatan disemak atau dikaji semula sejajar dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini dan mereka perlu diberi sejumlah pendapatan yang berpatutan. Kajian mengenai perkara ini pula janganlah mengambil masa yang lama. Dalam hal ini isu rakyat tempatan yang dikatakan kononnya memilih pekerjaan yang 'senang-senang' dan bergaji mahal tidak harus dibangkitkan lagi kerana kita sendiri sedia maklum ramai graduan universiti yang masih tidak mendapat kerja yang bersesuaian dengan kelulusan ijazah mereka namun tetap juga bekerja di syarikat-syarikat yang menawarkan gaji yang kecil. Begitu juga dengan mereka yang berkelulusan SPM, STPM dan sebagainya. Semuanya ingin mencari pekerjaan yang boleh menampung kehidupan diri serta keluarga.
Isu kebanjiran pendatang/pekerja asing juga perlu diberi perhatian kerana kedatangan mereka hanya menyempitkan peluang dan ruang untuk rakyat kita mencari rezeki di tanah airnya sendiri. Di samping itu kewujudan mereka yang terlalu ramai di bandar-bandar utama khususnya Kuala Lumpur begitu menakutkan kerana mengundang risiko pelbagai kes jenayah.

1 comment:

rayliew said...

Penyelarasan skim pergajian sektor awam perlu diadakan untuk meningkatkan pendapatan golongan ini bagi menghadapi peningkatan kos saraan hidup masa kini. Undang-undang yang lebih ketat dan tegas hendaklah diadakan untuk menghadkan pengambilan pekerja asing yang ramai yang telah membawa pelbagai masalah sosial.. keamanan negara terancam dengan kebanjiran pendatang asing yang menimbulkan banyak kes jenayah dan juga rebutan peluang pekerjaan kerana gaji yang dibayar kepada mereka lebih murah.. Adalah mudah untuk kita mengundang mereka masuk ke negara kita, tetapi susah untuk kita mengawal pergerakan mereka dan inilah yang berlaku di mana banyak kes jenayah melibatkan golongan ini dan yang mengerunkan sekali mereka ini keluar masuk ke negara kita dengan mudah dan juga membawa senjata api untuk merompak dan membunuh.. di kawasan perairan pula kita khuatir adanya pakatan golongan pekerja asing dengan lanun dari negara jiran...