Oleh: Tulip Desa
Kerajaan menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia ekoran daripada sikap rakyat Malaysia yang kurang berminat untuk menceburi bidang berkemahiran tinggi. Oleh itu, peluang ini diambil oleh pekerja asing yang dilihat memonopoli bidang tersebut. Tulip merasakan Kerajaan perlu merangka dasar, strategi dan perancangan supaya tidak lagi terus dibelenggu dengan permasalahan tersebut.
Masalah ini telah dijawab oleh Menteri Sumber Manusia dalam sidang dewan pagi ini, bahawa Kementerian Sumber Manusia telah merangka dasar serta merancang pelbagai usaha dan strategi bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia. Dasar Kerajaan ialah untuk membangunkan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, dilengkapi dengan nilai dan sikap positif bagi membolehkan industri di Malaysia berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Kerajaan telah membangunkan Pelan Induk Latihan Dan Pembangunan Kemahiran Pekerjaan Malaysia 2008-2020. Pelan ini bertindak sebagai asas dan hala tuju kepada penggalakan aktiviti pembangunan dan penyediaan program kemahiran kepada belia di negara ini. Perancangan dan pelan tindakan bagi melaksanakan strategi tersebut meliputi usaha-usaha memperkukuhkan kerjasama di antara agensi latihan dan industri, memperkukuhkan maklumat pasaran sumber manusia mahir, memperluaskan kapasiti latihan, mempertingkatkan dan memperluaskan program pembangunan latihan peringkat tinggi dan memperkenalkan program keusahawanan.
Sehingga kini, Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah KSM telah meluluskan 70 buah pusat bertauliah bagi menawarkan sejumlah 173 program latihan di tahap 4 (Diploma Kemahiran Malaysia) atau tahap 5 (Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia) bagi mengatasi masalah tersebut.
1 comment:
Fenomena ini telah lama berlaku, namun yang berminat kebanyakkannya telah berhijrah ke negara lain untuk bekerja kerana tawaran gaji adalah lebih lumayan..oleh itu untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja kemahiran tinggi, selain daripada latihan, tawaran kerja dengan pendapatan yang tinggi juga perlu dilaksanakan supaya tenaga kerja berkemahiran tinggi tidak dibawa keluar..
Post a Comment