Thursday, November 6, 2008

Penggulungan Bajet 2009 Najib ikut peraturan - Speaker

Dipetik dari Utusan Online

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Pembentangan Bajet 2009 dan penggulungan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam termasuk pengumuman langkah- langkah tambahan untuk merangsang ekonomi negara adalah teratur dan tidak melanggar peraturan mesyuarat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan, langkah-langkah tambahan yang mendapat bantahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) dan ahli-ahli Parlimen pembangkang lain, bukan sebahagian daripada Bajet 2009.

"Perkara ini akan lebih jelas sekiranya ahli-ahli Parlimen pembangkang berada dalam dewan semasa pembentangan tersebut dan meminta penjelasan daripada Menteri Kewangan tetapi ahli Parlimen pembangkang tidak ada," katanya.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat selepas sesi persidangan bersambung semula petang ini.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sebelah pagi selepas sesi soal jawab berlangsung, apabila Anwar dan ahli Parlimen pembangkang membuat kekecohan mengenai langkah-langkah tambahan untuk merangsang ekonomi negara.

Najib semalam mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilon dalam usaha mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.

Pandikar Amin kemudian menyelar ahli Parlimen pembangkang kerana tidak membangkitkan perkara itu semasa Najib menggulung perbahasan dan mengumumkan langkah-langkah tambahan untuk menangani krisis kewangan dunia sebaliknya keluar dari Dewan Rakyat.

"Sekiranya ahli Parlimen pembangkang berada di dalam dewan semasa penggulungan oleh Menteri Kewangan, saya tidak perlu memberi penjelasan, tetapi kini saya pula terpaksa memberikan penjelasan di dalam dewan," katanya.

Sebagai Yang Dipertua katanya, soal sama ada peraturan mesyuarat dipatuhi adalah penting bagi beliau memandangkan Bajet 2009 paling mustahak kerana jika tidak mengikuti peraturan, ia tidak sah.

Tegasnya, keputusan yang beliau ambil setelah mengambil kira semua aspek peruntukan Perlembagaan negara dan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Pandikar Amin kemudian meminta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni
Mohamad Hanadzlah menjelaskan bahawa apa yang dibincangkan pada peringkat jawatankuasa sidang Dewan Rakyat adalah Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 29 Ogos lalu.

Ahmad Husni kemudiannya memberitahu, peruntukan RM7 bilion yang dibentangkan oleh Najib merupakan penjimatan subsidi minyak yang terkandung di dalam Bajet 2009.

"Kerajaan menjangkakan penjimatan sehingga RM7 bilion daripada subsidi minyak memandangkan harga minyak dunia telah turun dan penjimatan itu akan digunakan dalam langkah-langkah tambahan untuk merangsang ekonomi negara seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan.

"Tujuan Menteri Kewangan mengumumkan langkah-langkah ini lebih awal adalah bertujuan untuk memperlihatkan ketelusan bahawa setiap duit yang dibelanjakan oleh kerajaan dijelaskan kepada rakyat," katanya.

1 comment:

rayliew said...

"Mereka yang mematuhi peraturan adalah benar, dan mereka yang bertindak BIADAP dan melanggar peraturan adalah yang TIDAK benar.." mana pergi MP lawyer pakatan..semua ikut jejak DSAI melanggar peraturan..lesen mereka sepatutnya diGANtung terus.