Monday, June 9, 2008

KERAJAAN BEKU PERMOHONAN HYPERMARKET

PULAU PINANG, 8 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) akan membekukan sementara waktu permohonan bagi membuka cawangan-cawangan hypermarket dalam negara.

Menterinya Datuk Shahrir Abdul Samad berkata pembekuan itu bertujuan melindungi kepentingan para pengusaha pasar basah yang menghadapi saingan hebat ekoran kewujudan hypermarket itu.

Beliau berkata pembekuan itu hanya untuk permohonan yang baru sahaja, manakala bagi yang sudah diluluskan, mereka boleh terus beroperasi seperti biasa.

"Bagaimanapun kerajaan akan memberi kelulusan bagi permohonan yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk membuka cawangan-cawangan hypermarket," katanya kepada pemberita selepas melawat pasar awam Batu Lanchang di sini hari ini.

Katanya walaupun wujud persaingan hebat antara pasar basah dengan hypermarket namun secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan harga barang yang dijual di pasar awam itu.

Sementara itu Shahrir berkata pihaknya sedang menimbangkan langkah untuk memberi subsidi kepada perkhidmatan feri di Pulau Langkawi, Pulau Labuan dan Pulau Carey ekoran kenaikan harga petrol dan diesel.

Beliau berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan pihak-pihak yang terbabit.

No comments: