Oleh FAUZIAH AROF dan HERMAN HAMID
KUALA LUMPUR 22 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk dua daripada Parti Maju Sabah (SAPP) menjalankan tanggungjawab membahas dan menyokong usul berkaitan kenaikan harga minyak dan barangan di Dewan Rakyat, esok.
Usul itu akan dibawa oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad sebaik selesai sesi soal jawab.
Perdana Menteri berkata, adalah menjadi harapan beliau agar wakil rakyat BN dapat melaksanakan tugas dengan baik memandangkan penjelasan serta taklimat mengenainya telah diberikan sebelum ini.
Beliau turut mengingatkan dua anggota Majlis Tertinggi (MT) SAPP iaitu Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau) dan
Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) agar mematuhi disiplin parti sepanjang sidang termasuk menyokong apa yang diusulkan oleh BN.
''Saya harap mereka tidak mengundi yang sebaliknya tetapi menyokong. 'Ini sebenarnya bukan harapan tetapi menjadi satu disiplin parti,'' tegas beliau.
Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada taklimat khas mengenai penstrukturan subsidi kepada Ahli Parlimen BN di Auditorium Perdana Angkasapuri di sini hari ini.
Taklimat yang berlangsung lebih tiga jam itu turut dihadiri Ahli Dewan Negara, anggota Kabinet dan Ketua-ketua Setiausaha Kementerian.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A. Aziz; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Datuk Dr. Ng Yen Yen; Shahrir Samad dan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Rabu lepas, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan parti komponen BN itu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah dan wakil rakyat SAPP bersedia menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
SAPP mempunyai dua wakil rakyat di Dewan Rakyat iaitu Soon Bui dan Majimbun yang menang atas tiket BN pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Abdullah memberitahu, usul berkaitan dengan isu kenaikan harga minyak dan barangan itu bertujuan membincangkan perkara itu dan mencari jalan untuk menanganinya.
''Saya tidak mahu beritahu apakah bentuk usul itu kerana ia hanya akan dibacakan esok bila tiba masanya tetapi usul ini sudah semestinya ada hubung kait dengan kenaikan harga minyak dan barangan,'' jelas beliau.
Abdulllah berkata, usul tersebut akan mengambil masa yang agak panjang dan kerajaan bersedia membincangkannya sehari suntuk bagi memberi kesempatan kepada wakil-wakil rakyat membahaskannya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, sesi perbahasan tersebut tidak akan disiarkan secara langsung menerusi RTM.
Sementara itu, Najib ketika bercakap mengenai isu SAPP turut meminta agar kedua-dua wakil rakyat parti tersebut mematuhi disiplin.
Tegasnya, anggota BN dikehendaki atau diwajibkan menyokong usul kerajaan melainkan mereka diberitahu sebaliknya.
''Ini prinsip BN, saya telah menegaskan perkara ini dalam perjumpaan ini jadi semua anggota faham apa yang diberitahu kepada mereka. 'Ini bukan amaran tetapi disiplin parti, jadi kena faham-fahamlah,'' tegasnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment