Wednesday, June 25, 2008

LUPAKAN YANG LAIN

DIPETIK DARI BLOG SIRATAN SURATAN

SHAH ALAM 24 Jun - Pegawai kanan kepada Menteri Besar Selangor, Mohd. Yahya Sahri yang digantung tugas kerana disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung kelulusan kontrak pembersihan dan pelupusan sampah di kawasan Petaling Jaya meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar berkuat kuasa semalam.

Beliau juga melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Mohd. Yahya berkata, beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan menyifatkan hukuman yang dikenakan ke atas dirinya sebagai tidak adil disebabkan kes itu masih dalam siasatan BPR.

Selain itu, beliau juga kecewa dengan Abdul Khalid kerana tidak pernah diberikan peluang untuk menyatakan pendirian serta pandangannya mengenai dakwaan tersebut.

"Sekiranya siasatan mendapati wujud salah laku, hanya BPR yang boleh mengambil tindakan (mendakwa). Oleh itu, tidak ada sebab untuk Menteri Besar menggantung saya hanya kerana nama saya dikaitkan dengan siasatan ini.

"Bagaimanapun, tindakan seperti ini (gantung tugas) adalah tidak wajar kerana pada mata rakyat saya ini seolah-olah bersalah sedangkan siasatan masih berjalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakannya meletak kedua-dua jawatan tersebut sebagai membantah keputusan Abdul Khalid terhadap dirinya.

Pada 10 Jun lalu, BPR Selangor memanggil dan mengambil keterangan Mohd. Yahya selama empat jam berhubung siasatan kes kelulusan kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah yang melibatkan kawasan Petaling Jaya kepada empat syarikat tanpa pengetahuan Menteri Besar.

Siasatan itu dibuat ekoran tindakan empat individu yang mendakwa anggota PKR Bahagian Kuala Selangor, Tanjung Karang serta Shah Alam membuat laporan kepada BPR dan mendakwa mempunyai bukti serta dokumen pegawai kanan berkenaan terbabit berbuat demikian tanpa pengetahuan Abdul Khalid.

Sehubungan itu, Mohd. Yahya mendesak Abdul Khalid supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar serta Pengerusi PKR Selangor tetapi beliau enggan menyatakan sebab-sebabnya.

Dalam pada itu, Mohd. Yahya memberitahu, beliau ada bertemu dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan pandangan sebelum mengambil tindakan selanjutnya mengenai perkara berkenaan.

"Sebenarnya saya mahu adakan sidang akhbar bagi menyatakan keputusan ini (letak jawatan) semalam. Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah supaya berjumpa dengan Anwar terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan.

"Sungguhpun begitu, peletakan jawatan saya dalam PKR tidak bermakna saya keluar daripada parti ini, tetapi sebagai protes bahawa saya tidak berpuas hati dengan cara kepimpinan Abdul Khalid," ujarnya.

MAT SIRAT - DENGAN IZIN 'JOURNEY OF 1,000 MILES IS STARTED WITH A BRAVE SINGLE STEP...' MULA-MULA PROTES TIDAK PUASHATI DENGAN CARA KEPIMPINAN TS KHALID IBRAHIM. LEPAS TU UNDILAH BN, LUPAKAN YANG LAIN...

No comments: