Monday, June 23, 2008

PEGAWAI TS KHALID IBRAHIM DIGANTUNG KERJA

SHAH ALAM: Khidmat seorang pegawai kanan di Pejabat Menteri Besar Selangor sudah digantung selama dua bulan berkuatkuasa hari ini, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Dia (pegawai itu) sudah dimaklumkan semalam melalui SMS supaya dia tidak terperanjat apabila menerima surat (penggantungan beliau),” kata Abdul Khalid kepada wartawan selepas melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di sini hari ini.

Beliau berkata, penggantungan ini dibuat berikutan kenyataan oleh beberapa ahli Parti Keadilan Rakyat bahawa pegawai kanan kepada Menteri Besar itu sudah membuat beberapa surat sokongan untuk sesetengah pihak bagi mendapatkan kontrak di majlis tempatan.

“Kenapa kita buat begini, Parti Keadilan dan rakan daripada Pas dan DAP kita bersetuju mesti ada ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Kita tulus, kita kena buat dengan betul. Kalau pegawai itu tidak bersalah maknanya dia akan diambil balik untuk bekerja, kalau bersalah kita akan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya lagi.

Abdul Khalid berkata siasatan Badan Pencegah Rasuah mendapati pada keseluruhannya ia bukanlah kesalahan daripada segi undang-undang tetapi daripada segi “improper conduct”.

“Boleh jadi dengan perkara itu ada andaian konflik kepentingan atau sokongan tidak wajar,” katanya lagi.

Abdul Khalid berkata, surat penggantungan kerja itu bagi membolehkan siasatan ke atas fail berkenaan.

Menteri Besar itu berkata beliau akan mengarahkan Setiausaha Politiknya untuk bertemu ahli PKR yang membuat kenyataan berkenaan pegawai itu.

Jika didapati perkara itu sangat serius kerajaan negeri akan mengemukakan kes itu kepada Jawatakuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT)) untuk menjalankan siasatan lanjut.

Mengenai kejadian mencuri pasir yang dikatakan berleluasa di Selangor, Abdul Khalid berkata pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan dengan bantuan polis.

Setakat ini hanya 49 lesen mengambil pasir sudah dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan tidak ada lesen baru dikeluarkan, katanya lagi.

Mengenai pusat MES itu Abdul Khalid berkata, sebagai permulaan ia dilengkapi tiga kaunter pertanyaan am dan lima stesen penerimaan panggilan telefon di talian 03-55447450.

Ia ditubuhkan sebagai satu platform yang akan memudahkan rakyat dari segenap lapisan masyarakat mendapatkan input dan nasihat berkenaan dasar kerajaan negeri seperti Tabung Warisan Anak Selangor, Program Warga Emas, Geran untuk Kemasukan ke universiti dan bekalan air percuma. - BERNAMA.

No comments: