Friday, June 13, 2008

KURANGKAN CUKAI PENDAPATAN DIKAJI

PUTRAJAYA 12 Jun – Kerajaan akan menimbang kemungkinan memberi pelepasan atau pengurangan cukai pendapatan bagi meringankan beban rakyat akibat peningkatan kos sara hidup kesan kenaikan harga minyak.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, cadangan yang dibangkitkan oleh Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) pada Majlis Konsultasi Bajet 2009 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini hari ini, akan diberi pertimbangan serius.

“Ada cadangan supaya dikaji untuk kurangkan cukai pendapatan dalam tempoh (tahun) tertentu. Kita akan lihat sama ada ia akan dimasukkan dalam Bajet 2009,’’ katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis konsultasi tersebut yang berlangsung selama empat jam di Kementerian Kewangan di sini.

Bajet 2009 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Ogos ini.

Pengurangan cukai pendapatan satu hingga dua peratus pernah dilaksanakan ke atas kira-kira 91,000 orang semasa Belanjawan 2002.

Langkah itu menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM853 juta.

Mengulas lanjut, menurutnya, tahap kelayakan untuk membayar cukai pendapatan di negara ini realitinya begitu tinggi.

Bagi yang masih bujang dan berpendapatan di bawah RM2,950, katanya, mereka dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan.

Pengecualian juga dibenarkan kepada mereka yang telah berkahwin dan mempunyai anak dengan pendapatan di bawah RM3,200.

‘‘Daripada 10 hingga 15 juta penduduk Malaysia yang bekerja, hanya sejuta lebih sahaja yang membayar cukai pendapatan dengan 38,000 orang sahaja yang membayar pada kadar 28 peratus,” katanya.

Ditanya sama ada pelepasan cukai pendapatan itu kelak akan merugikan kerajaan, Nor Mohamed berkata: “Cukai pendapatan hanya menyumbang setakat RM10 bilion (kepada pendapatan Malaysia) berbanding keseluruhan hasil negara sebanyak RM147 bilion.”

No comments: