KOTA TINGGI, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan memperketatkan prosedur permohonan permit pekerja asing untuk semua sektor bagi mengelakkan negara terus bergantung kepada pekerja asing.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata maklum balas daripada Kementerian Sumber Manusia serta pihak majikan akan diperolehi sebelum langkah itu diambil bagi memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
"Secara peribadi, saya sendiri merasa hairan mengapa majikan terlalu mudah mengambil pekerja asing sedangkan rakyat negara ini, boleh dilatih untuk pekerjaan berkenaan. Misalnya, tukang urut... terlalu banyak permohonan mendapatkan pekerja asing.
Adakah kita tidak boleh melatih tukang urut tempatan untuk mengisi pekerjaan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Ternakan Lintah dan menyampaikan cek Tekun kepada 58 peserta di Sedili Kecil, dekat sini hari ini.
Terdapat lebih dua juta pekerja asing berdaftar di negara ini manakala pendatang tanpa izin dianggarkan dua kali ganda daripada jumlah itu dengan majoritinya bekerja di sektor perladangan dan pembinaan.
Walaupun permohonan pekerja asing adalah tanggungjawab kementeriannya, Syed Hamid berkata beliau sudah mengarahkan supaya setiap permohonan daripada majikan perlu dirujuk kepada Kementerian Sumber Manusia terlebih dulu bagi memastikan kesahihannya.
Beliau berkata sikap majikan yang terlalu mudah mengambil pekerja asing tanpa mengira sama ada mereka sah atau haram menyebabkan ada rakyat asing menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di negara ini.
Kegiatan itu semakin berleluasa dan penguatkuasaan yang dipergiatkan tidak akan dapat dibanteras sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada majikan sendiri, katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment