Oleh WiraSukan
Negara manakah yang menjadi pilihan anda untuk muncul sebagai juara Euro 2008? Adakah Jerman, Sepanyol, Russia atau Turki?
Bagi saya, Jerman adalah pasukan yang paling layak menjadi juara pada kali ini. Ini kerana kekuatan minda semua pemain mereka terutama ketua pasukan, Michael Ballack. Selain itu, keghairahan Belanda tersekat di peringkat suku akhir apabila mereka bermegah dengan kegagahan pasukan Oren, membuktikan keyakinan terlampau sangat boleh memusnahkan harapan sesebuah pasukan berbanding Jerman yang sentiasa berhati-hati.
Dalam pada itu, Sepanyol yang sudah menamatkan badi suku akhir dengan kemenangan penentuan sepakan penalti ke atas Itali, tidak mahu berpuashati dengan kemenangan itu sedangkan hadiah utama masih belum berada dalam genggaman.
“Seperti semua peminat Sepanyol yang lain, saya gembira dengan kemenangan ini,” kata jurulatih Sepanyol, Luis Aragones pada sidang akhbar selepas pasukannya mengalahkan juara dunia itu.
“Tetapi kami tidak melakukan apa-apa melainkan menang pertarungan kecil. Saya berpendapat, Sepanyol memang berhak untuk menang, tetapi kami tidak bermain cemerlang dan begitu juga Itali.
“Kami berjaya melaksanakan tugas dan di Sepanyol, kami sentiasa berbicara mengenai kegagalan melepasi suku akhir, tetapi kini kami berpeluang mara ke final. Pasukan ini begitu berkeyakinan mereka boleh memenangi kejohanan ini.”
Pertarungan berhati-hati dan taktikal di Stadium Ernst Happel, berlanjutan ke sepakan penalti selepas tambahan masa berakhir 0-0 dan Sepanyol meraih kemenangan dibantu oleh Iker Casillas, yang menyelamatkan dua tendangan Itali.
Ia kali pertama Sepanyol mara ke separuh akhir kejohanan besar sejak melangkah ke final Kejohanan Eropah pada 1984 apabila mereka tumpas kepada Perancis.
Aragones, berkata ia adalah perlawanan yang mengecewakan.
“Rentak begitu perlahan dan jika kami dapat mempercepatkan sedikit, mungkin kami akan mempunyai lebih banyak peluang. Ia bukannya perlawanan yang menarik.”
Sepanyol kini berdepan Russia, yang mengalahkan Belanda 3-1 pada suku akhir, di Vienna, Khamis lalu.
Jurulatih berusia 69 tahun itu, berkata tidak akan ada kebimbangan kealpaan dalam skuadnya walaupun Sepanyol berjaya membelasah Russia, 4-1 dalam perlawanan pembukaan kumpulan.
“Ia bakal menjadi perlawanan berbeza,” katanya. “Mereka (Russia) mempunyai pasukan yang kuat dan cergas serta mempunyai kelebihan rehat satu hari. Ia pastinya sukar buat kami.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment