Friday, June 13, 2008

TINDAKAN KERAJAAN PERLU DIPERJELASKAN

Oleh IBRAHIM YAHAYA
( dipetik daripada http://www.duniatiger.blogspot.com )

APAKAH peranan serta tanggungjawab media dan agensi penerangan ketika negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak ini? Sudah tentu mereka perlu bekerja lebih keras dalam membuat penjelasan kepada rakyat. Mereka perlu menjelaskan apakah sebenar yang berlaku sekarang sehingga kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak dan menstrukturkan semula subsidi seperti yang diumumkan pada 4 Jun lalu.

Perkara pertama yang perlu dijelaskan ialah dasar kerajaan tidak berubah dari segi pemberian subsidi cuma jumlahnya saja yang berkurangan. Kerajaan juga prihatin dengan masalah rakyat yang menyaksikan tiada penghapusan sebaliknya memberikan rebat yang akan dinikmati terus oleh golongan yang memerlukan.

Pemberian subsidi minyak dan keperluan lain termasuk pertanian dan kesihatan kini hampir mencecah RM56 bilion. Ia angka yang besar dan bertambah dari semasa ke semasa berikutan kenaikan harga minyak dunia yang kini mencecah AS$138 setong. Kenaikan empat kali ganda sejak setahun lalu menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan penstrukturan semula subsidi bagi mengelakkan negara menghadapi masalah kewangan pada masa akan datang.

Untuk itu, petugas media dan agensi penerangan sendiri harus yakin dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang bagi memudahkan mereka membuat penjelasan. Ini penting kerana jika mereka sendiri tidak yakin apa yang dilakukan kerajaan, bagaimana mereka boleh menerangkan dengan sejelas-jelasnya. Mereka perlu banyak membaca dan mendengar penjelasan kerajaan terutama Perdana Menteri dan Timbalannya mengenai objektif tindakan menaikkan harga petrol dan diesel serta memperkenalkan mekanisme struktur subsidi baru.

Mereka juga perlu mencari maklumat lain untuk memperkuatkan hujah terutama mengenai kedudukan harga minyak di negara pengeluar minyak di seluruh dunia. Ini termasuk di Asia Barat dan Amerika Latin.

Perkara kedua yang perlu dijelaskan ialah asas kepada tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan menstrukturkan semula subsidi. Ia bermatlamat untuk memastikan wang negara sentiasa ada untuk kegunaan masa akan datang. Dalam erti kata lain negara perlu mempunyai simpanan kewangan kukuh untuk menghadapi kemelut ekonomi yang akan datang. Pusingan kemelut ekonomi ini datang dalam lingkungan sepuluh tahun dan tanpa persediaan dari segi simpanan kewangan, ia akan mendatangkan masalah besar.

Kemelut ekonomi kali ini dalam bentuk kenaikan harga minyak dunia benar-benar menguji kekukuhan kewangan negara. Jika kerajaan menggunakan segala wang hanya untuk menampung subsidi minyak yang bertambah, sudah tentu kantung kewangan akan berkurangan malah habis untuk terus bergerak.

Oleh itu, perlu difikirkan mekanisme yang terbaik untuk mengelakkan kantung wang habis tetapi meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Langkah menaikkan harga minyak adalah untuk mengelakkan kos penyaluran subsidi terlalu tinggi manakala mekanisme subsidi baru yang diumumkan adalah langkah untuk menjayakan rancangan ini. Ia perlu dilihat sebagai "langkah terpaksa" dan bukan untuk suka-suka untuk menyusahkan rakyat. Keputusan itu sudah tentu tidak popular tetapi dilaksanakan juga demi kepentingan rakyat dan negara. Bagi sesetengah pihak, kemelut ekonomi ini turut memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai semula struktur pemberian subsidi sekarang.

Media dan agensi penerangan boleh menggunakan ajaran dan kisah-kisah yang memaparkan kepentingan berjimat cermat dalam setiap ajaran agama. Dalam Islam, mereka boleh menggunakan kisah Nabi Yusof AS yang menterjemahkan mimpi Raja Mesir berkaitan tujuh lembu gemuk dan tujuh lembu kurus. Nabi Yusof AS mengaitkan mimpi itu mengenai keperluan negara untuk berjimat cermat ketika zaman mewah bagi menghadapi zaman meleset yang digambarkan oleh tujuh lembu kurus. Dengan ada usaha berjimat cermat ini, maka sesebuah negara mampu menghadapi kemelut ekonomi dan kewangan dalam keadaan yang lebih teratur dan menyakinkan.

Selama ini, subsidi minyak memberikan keuntungan kepada semua pihak bukan golongan tertentu saja. Malah ia turut dinikmati oleh rakyat asing di sempadan. Rakyat Malaysia yang mempunyai banyak kenderaan pasti menikmati kelebihan subsidi ini. Mereka yang mempunyai kenderaan mewah turut menikmati harga minyak yang murah kerana kos pembelian minyak mereka tidak begitu tinggi.

Bagaimanapun, bagi mereka yang memiliki sebuah motosikal atau kereta, walaupun mereka menikmati subsidi itu tetapi "nisbah keuntungan itu" mungkin tidak sama dengan individu yang mempunyai banyak kenderaan dan kereta mewah. Secara bandingan, kenaikan harga minyak ini sepatutnya lebih dirasai oleh golongan berpendapatan tinggi yang pasti "tidak terasa sangat" kerana mereka mempunyai wang untuk membeli bahan bakar itu berbanding golongan miskin.

Pengenalan mekanisme subsidi baru ini memperlihatkan usaha memberi subsidi diberikan terus kepada golongan yang benar-benar memerlukannya menerusi pemberian rebat RM625 untuk pemilik kenderaan di bawah 2000 cc dan RM150 bagi motosikal untuk setahun. Mereka boleh mendapatkan rebat itu apabila mendaftar semula geran kereta di pejabat pos di seluruh negara mulai 14 Jun.

Perkara ketiga yang perlu dibuat ialah jawapan kepada segala tuduhan dan tohmahan oleh pihak tertentu terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Media dan agensi penerangan perlu mencari maklumat yang disebarkan dan berusaha untuk menangkisnya dengan menyiarkan maklumat untuk menjelaskan keadaan sebenar. Tuduhan ini, jika tidak dijawab akan dianggap benar oleh rakyat dan ini boleh mengelirukan mereka. Jika rakyat terkeliru ditambah pula terpaksa menanggung beban kenaikan harga minyak itu, sudah tentu mereka akan "naik angin" dengan kenaikan harga minyak itu.

Jika rakyat di peringkat bawahan mengadakan demonstrasi akibat kegagalan media dan agensi penerangan memainkan peranan mereka, ia satu isyarat bahawa sesuatu yang lebih buruk akan berlaku kepada negara ini terutama dari segi ketenteraman awam.

Antara perkara yang perlu dijelaskan termasuklah dari segi keuntungan Petronas dan jumlah pemberian subsidi syarikat petroleum negara itu kepada kerajaan. Selain itu, kos perbelanjaan Petronas dalam mencari gali di laut berbanding kos yang lebih kecil oleh negara pengeluar yang mendapatkan minyak mereka di darat.

Media dan agensi penerangan perlu juga mencari maklumat untuk menjelaskan laporan yang mengatakan kenaikan harga minyak negara lebih tinggi daripada negara-negara lain termasuk negara jiran seperti Singapura. Laporan yang ditonjolkan oleh media pembangkang dan penulis blog mengenai perkara itu akan menyakinkan rakyat jika tiada jawapan dan usaha untuk menangkisnya. Kini, terpulanglah kepada media dan agensi penerangan untuk menjelaskan sebaliknya. Sudah tentu mereka boleh mendapatkan hujah-hujah untuk menangkis laporan seumpama itu.

No comments: